Bukan tak percaya pemain muda, Piala MFL memang pentas rebut kejuaraan selain platform pembangunan


  • Podium
  • Isnin, 14 Apr 2025

Pemain kebangsaan, Paulo Josue (kanan) antara yang beraksi dalam Piala MFL bertemu Selangor.

KONTROVERSI Kuala Lumpur City Extension (KLCE) meletakkan pemain senior seperti Paulo Josue, Jovan Motika dan Giancarlo Gallifuoco ketika bertemu Selangor FC II menimbulkan reaksi pelbagai penyokong bola sepak.

Ada yang mengecam, namun begitu tidak kurang juga memandang ia sebagai satu tindakan tepat dilakukan oleh KLCE untuk memberikan saingan kompetitif buat calon juara Piala MFL itu.

Tindakan kelab-kelab Liga Super meletakkan pemain senior atau import dalam skuad Piala MFL menunjukkan betapa pentingnya kejohanan tersebut.

BACA LAGI: Ingatan buat Selangor FC II, kekal pendirian tak turun bintang senior aksi penutup Piala MFL

BACA LAGI: Sanggup turunkan pemain senior, fans anggap lawan cuba gagalkan misi Selangor julang Piala MFL

Selangor dan KL City Extension menurunkan pemain import dalam perlawanan Piala MFL.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Afiq Rowley, semuanya terletak kepada pilihan jurulatih sama ada hendak meletakkan pemain senior/import atau tidak. Ia juga bukannya tanda jurulatih itu tidak percaya kepada bakat muda di kelab mereka.

Apa yang penting, biarlah ia diturunkan mengikut peraturan ditetapkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Bukan istilah percaya atau tidak, ini berkenaan taktikal jurulatih itu sendiri selain ia mampu memberi manfaat dan pengalaman terbaik buat pemain muda lain untuk tidak selesa selepas melihat keupayaan senior.

"Pendedahan itu ada pelbagai jenis. Bagi saya ia bukan suatu masalah. Jika diikutkan, sejak musim lalu lagi sudah ada pemain senior dan import yang bermain untuk skuad Piala MFL. Kejuaraan ini berkisarkan tentang kemenangan. Ia bukan lagi tentang pembangunan akar umbi," jelas Afiq kepada Majoriti.

Pada Afiq, pentas pembangunan yang sebenar adalah di saingan seperti Piala Presiden dan Piala Belia. Hai ini kerana, Piala MFL dianggap sebagai pentas peralihan seorang pemain muda ke bola sepak senior.

Oleh itu, biarlah pemain muda itu berdepan pemain senior dan import di Piala MFL sebelum beraksi dengan cabaran sebenar dalam skuad utama Liga Super.

Dengan Piala MFL tidak akan dipertandingkan bermula depan, pastinya sukar untuk pemain-pemain muda tempatan mendapatkan tempat dalam kelab-kelab ditambah ada spekulasi pasukan menarik diri daripada Liga Super.

Afiq melihat lambakan pemain muda yang tersekat di tahap Piala MFL berkemungkinan akan meneruskan karier mereka bersama kelab-kelab amatur tempatan demi meneruskan perjuangan dalam bola sepak.

Namun begitu, jika ada yang cukup berani, boleh mencuba nasib beraksi di luar Malaysia. Mana tahu, ada rezeki?

"Pastinya, ketiadaan Piala MFL memberi kesan mendalam kepada pemain-pemain muda lain untuk mencari peluang bersama kelab baharu. Sama ada bersama skuad elit atau mereka perlu tembusi skuad di peringkat amatur.

"Jika berani, cubalah nasib beraksi di kelab-kelab sekitar Asia Tenggara," cabar Afiq. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram