
NAMA Malaysia kembali bersinar di pentas antarabangsa apabila seorang pelajar tajaan pinjaman boleh ubah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dari Utsunomiya University, Jepun, mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih dua anugerah utama dalam Japan Peace and Innovation Summit 2025 yang berlangsung baru-baru ini di Tokyo.
Muhammad Muaz Mohd Fariz tampil meyakinkan menerusi pembentangan projek berimpak sosial bertajuk School Immersion Programme.
Hasil inovasi projek sosial yang kreatif melayakkan dia meraih pengiktirafan utama iaitu Young Innovator Award, menewaskan pasukan dari pelbagai negara.
Menurut pemuda berusia 20 tahun itu, dia mempersembahkan projek sosial berimpak tinggi bertajuk School Immersion Programme yang memberi tumpuan kepada pembangunan kepimpinan pelajar dan pendidikan berkualiti, selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari ke-4 (SDG 4).
"Apa yang menjadikan projek ini unik ialah saya tidak hanya fokus kepada pencapaian akademik semata-mata, tetapi juga kepada pembangunan karakter pelajar, kepimpinan dan idea penambahbaikan sistem pendidikan dari bawah.
"School Immersion Programme ini memfokuskan kepada impak jangka panjang terhadap sistem pendidikan," katanya kepada Majoriti.
Muhammad Muaz ketika menerima Anugerah Young Innovator Award ketika Japan Peace and Innovation Summit 2025 di Tokyo baru-baru ini.
Perjuangkan isu hak asasi manusia
Jelas anak jati Sungai Petani, Kedah itu lagi, dia turut meraih Anugerah Kumpulan Terbaik bagi kategori Peace Video Making Competition menerusi video ringkas yang menyentuh isu keamanan sejagat bersama seorang lagi delegasi pelajar dari Malaysia, Satya Narayana Rao Ramasamy.
Anugerah tersebut diberikan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan idea inovatif dalam memperjuangkan keamanan dan kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Bercerita lanjut, katanya, video bertemakan "Security and Peace" dihasilkan dengan fokus kepada isu hak asasi manusia di seluruh dunia.
"Saya menggunakan pendekatan penceritaan untuk menyampaikan mesej agar lebih menyentuh hati penonton dan kesan mendalam kepada para juri.
"Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian peribadi. Ia adalah amanah yang saya galas sebagai anak Malaysia untuk menyampaikan suara keamanan dan kemanusiaan di peringkat dunia.
"Jika bukan saya yang berada di sana, maka tiada siapa yang akan mengibarkan bendera Malaysia. Saya anggap ini satu amanah yang dikongsi bersama dan saya mahu lakukan yang terbaik demi Malaysia," katanya.
Impian mengangkat nama Malaysia ke pentas dunia
Muhammad Muaz (kanan) bersama dua lagi delegasi pelajar Malaysia, Nur Ezrynn Eddy Azly (tengah) dan Satya Narayana Rao Ramasamy (kiri) pada Japan Peace and Innovation Summit 2025 yang berlangsung baru-baru ini di Tokyo.
Muhammad Muaz berkata, pengalaman menyertai sidang kemuncak itu telah membuka mata dia terhadap realiti pelbagai isu kemanusiaan yang dihadapi oleh negara serantau seperti Indonesia, Filipina dan Sri Lanka.
Menurutnya, memahami isu-isu global dan pendidikan adalah penting dalam membentuk kerjasama serantau yang lebih berkesan.
"Saya tidak lagi melihat usia sebagai halangan. Malah, peserta dari Filipina dan Indonesia yang lebih muda daripada saya sangat matang dan jelas dengan perjuangan mereka," katanya yang terinspirasi daripada semangat peserta lain.
Menutup bicara, Muhammad Muaz berkongsi impiannya untuk mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, termasuk berkhidmat dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Saya mahu menyambung pengajian hingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) sambil aktif dalam bidang kemanusiaan dan kerjasama antarabangsa, terutamanya antara Malaysia dan Jepun.
"Setelah tamat berkhidmat di luar negara, saya mahu pulang dan menyumbang kembali kepada negara melalui organisasi kerajaan atau badan bukan kerajaan dengan memanfaatkan struktur institusi antarabangsa secara maksimum," jelasnya yang dijangka tamat pengajian pada April 2028. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram