
APABILA bercakap mengenai pemain bola sepak muda dalam negara, pasti penyerang sayap dari Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Arif Aiman Hanapi menjadi nama pertama disebut oleh penyokong mahupun penggiat sukan berkenaan.
Bayangkan sahaja, Arif Aiman telah pun mengukir namanya dalam sejarah bola sepak Malaysia sebagai salah seorang pemain penuh sejarah kemenangan dan bahkan sudah disebut-sebut di pentas Asia menerusi kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Gabungan memukau antara kelajuan, kemahiran, visi, dan kematangan yang melebihi usianya, Arif Aiman berdiri jauh mengatasi rakan seangkatannya, satu bakat luar biasa yang jarang disaksikan dalam bola sepak tempatan.
BACA LAGI: 'Rumors' ke Iran mula senyap, Arif Aiman dipetik bakal berkelana ke Korea Selatan
BACA LAGI: Mungkin tinggalkan JDT usai kontrak tamat, ada 3 kelab Indonesia patut sambar Jordi Amat
Sejak membuat penampilan profesional bersama JDT pada musim 2019–2020, Arif Aiman menunjukkan prestasi luar biasa. Dalam lima musim, dia sudah membuat 147 penampilan dan menjaringkan 52 gol dengan ia merupakan angka yang menakjubkan bagi seorang pemain sayap.
Tidak cukup di peringkat kelab sahaja, pemain kelahiran Kuantan, Pahang itu sudah membuktikan kemampuannya di pentas dunia bersama Harimau Malaya apabila merekodkan tujuh gol dan 10 bantuan jaringan dalam 33 kaps.
Pemain yang pernah menuntut ilmu di Akademi Mokhtar Dahari itu juga merupakan pilihan utama bagi kelab dan negara, namanya sentiasa terpahat dalam senarai kesebelasan utama.
Sejak 2021, Arif Aiman juga telah mendominasi Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) apabila menyapu hampir semua anugerah individu yang ditawarkan, bukti kepada konsistensi, impak dan kecemerlangannya di atas padang.
Ramai yang cuba mengambil kredit atas pembangunan dirinya, daripada sistem pembangunan belia hinggalah ke struktur kelab, tetapi apa yang menjadikan Arif Aiman istimewa bukanlah dari mana dia datang, tetapi siapa dia sekarang.
Arif Aiman sudah merekodkan 33 kaps bersama Malaysia. — Facebook/MalaysiaNT
Arif Aiman boleh dilihat seorang pemain generasi hebat yang terus berkembang dari tahun ke tahun. Ketika ada pemain yang memuncak awal dan tenggelam, Arif Aiman masih mendaki dan dia melakukannya dengan keyakinan.
Bekas bintang Barcelona dan Liverpool, Luis Garcia yang pernah beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) serta La Liga melihat potensi bertaraf elit dalam diri pemain muda Malaysia tersebut.
"Kalau kita bercakap tentang kualiti dan teknik, itulah yang bola sepak perlukan.
"Arif Aiman ialah bakat muda yang sangat menonjol. Dia bermula pada tahap tertinggi pada usia muda dan berjaya mengendalikan segala tekanan, sehingga menjadi salah seorang pemain terbaik di Malaysia.
"Kita tahu ada banyak kelab yang memerhatikannya kerana kualiti, teknik dan kelajuannya. Harapnya, kita akan melihat pemain Malaysia seperti dia menembusi Eropah, mungkin juga ke Sepanyol," kata Garcia.
Garcia dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif JDT pada 1 April lepas.
Kemungkinan itu tidak terlepas daripada perhatian ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski yang teruja dengan potensi dimiliki Arif Aiman sekiranya dibangunkan dengan betul.
"Dia mungkin nama yang paling banyak diperkatakan. Seorang pemain muda yang hebat dan berbakat, dengan potensi yang besar. Saya teruja untuk bekerjasama dengannya dan membantu mencapai tahap terbaiknya," kata Cklamovski.
Walaupun Cklamovski lebih mengutamakan pasukan berbanding kehebatan individu, dia mengakui terdapat keinginan yang semakin meningkat dalam kalangan pemain Malaysia untuk menguji diri di luar negara.
Ia juga secara tidak langsung menjadi petanda bahawa pemain seperti Arif Aiman mula percaya mereka mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.
"Kalau mereka pergi ke liga yang lebih baik, mereka perlu berjuang untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama setiap minggu dan itu menjadikan mereka pemain yang lebih baik. Tapi jika kita kehilangan pemain seperti itu ke luar negara, apa akan jadi pada liga kita?
"Kita perlu pertingkatkan liga supaya pemain-pemain ini rasa tercabar dan mahu terus kekal di sini," kata jurulatih kelahiran Australia itu.
Cklamovski lebih mengutamakan pasukan berbanding kehebatan individu. — Facebook/MalaysiaNT
Untuk rekod, Arif Aiman tidak lari daripada khabar angin mengaitkannya dengan kelab luar negara apabila pasukan Iran iaitu Persepolis FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada penghujung tahun lalu.
Ura-ura itu hangat diperkatakan di media sosial sehingga menyaksikan penyokong dari Timur Tengah memenuhi ruangan komen Instagram pemain berusia 22 tahun tersebut untuk memujuknya memeterai perpindahan berkenaan.
Selain Persepolis, kelab Korea Selatan iaitu Jeonbuk Hyundai Motors berminat dengan khidmatnya. Hal itu dilaporkan sebuah agensi media di laman X, Markaj News yang mengatakan ia sudah disahkan sumber dalaman berdekatan dengan Jeonbuk selepas mereka berasa kagum akan kebolehannya sepanjang musim.
Bagaimanapun, sehingga kini, tiada sebarang perkembangan berhubung perkara tersebut, sekali gus menyaksikan Arif Aiman meneruskan kariernya yang kian positif bersama skuad Harimau Selatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram