Dipintas Australia saat-saat akhir, Malaysia kempunan Top 5 ranking MA AFC


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

JDT dan Selangor akan menjadi wakil Malaysia di kejohanan Asia musim depan.

MALAYSIA kempunan untuk menduduki kedudukan lima terbaik dalam kalangan negara Asia Timur selepas dipintas Australia pada minit akhir mengikut kemaskini terbaharu ranking MA Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Dalam kemaskini yang dikeluarkan AFC pada Khamis, Malaysia sepatutnya berada di tempat kelima sebelum Australia memintas hasil persembahan Sydney FC dalam Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2).

Sydney yang beraksi di separuh akhir berdepan kelab Singapura, Lion City Sailors kecundang menerusi agregat 1-2 pada perlawanan kedua diadakan pada Rabu.

BACA LAGI: Empat bintang 'semi-finalist' ACL 2, wajar jadi pilihan Selangor FC musim depan

BACA LAGI: JDT berdepan 2 'nemesis' dalam aksi ACL Elite di China

Kelab A-League itu pada mulanya kalah 0-2 pada aksi pertama di Stadium Jalan Besar, Kallang, Singapura sebelum menang 1-0 di laman sendiri pada aksi timbal balik.

Walaupun kemenangan 1-0 itu tidak cukup membawa Sydney ke perlawanan akhir, namun ia berjaya membantu Australia membantu memintas Malaysia.

Dalam ranking MA AFC, Australia memperoleh 40.420 mata untuk menghuni tempat kelima. Ia sekali gus menolak Malaysia yang meraih 40.039 mata turun ke tempat keenam.

Walaupun dipintas minit akhir, mujur buat Malaysia kerana mereka masih berada dalam zon yang membolehkan ada wakil Liga Super beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) bagi musim 2025/2026.

Kedudukan terkini ranking MA AFC bagi negara Asia Timur.

Hal ini kerana, AFC memperuntukkan satu slot ACLE kepada negara yang menduduki tempat kelima dan keenam dalam ranking MA mereka.

Mujur buat Malaysia, Vietnam yang menduduki tempat ketuju terlalu jauh untuk mengejar dengan mereka cuma meraih 35.038 mata.

Oleh itu, kedudukan keenam yang dihuni Malaysia akan membolehkan satu kelab Liga Super beraksi di ACLE dan satu untuk ACL2 (1+1).

Jika mengikut perkiraan semasa, Johor Darul Ta'zim (JDT) akan beraksi di ACLE musim depan dan Selangor FC pula bermain di ACL2 atas faktor kedua-dua kelab menduduki kedudukan dua terbaik liga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram