‘Musim terbaharu Piala Presiden menyusahkan Nafuzi Zain, lebih ramai import dinaturalisasikan’


  • Podium
  • Khamis, 17 Apr 2025

Piala Presiden 2025 hanya disertai 11 pasukan.

BOLA sepak Malaysia melihat satu lagi situasi sukar melanda apabila hanya 11 pasukan yang mengambil bahagian dalam Piala Presiden 2025.

Johor Darul Ta'zim, Selangor FC, Terengganu FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Kuching City FC, PDRM FC, Sabah FC, Kuala Lumpur City FC, Melaka FA serta skuad Akademi Mokhtar Dahari (AMD) bawah 17 tahun yang mengambil bahagian.

Manakala Kedah Darul Aman FC, Perak FC dan Sri Pahang FC memilih untuk tidak mengambil bahagian.

BACA LAGI: Tak bertanding Piala Presiden, Kedah, Pahang, Perak, KDN hint tarik diri Liga Super 2025 

BACA LAGI: Bukan tak percaya pemain muda, Piala MFL memang pentas rebut kejuaraan selain platform pembangunan

Barisan pasukan yang menyertai Piala Presiden 2025.

Bagi pemerhati bola sepak tempatan, T. Avineshwaran, perkembangan tersebut jelas membimbangkan kerana ia akan memganggu sistem pembangunan bakat muda di negara ini. Ia disebabkan, Piala Presiden adalah pentas penting bagi pembangunan pemain muda.

"Ia amat merugikan dan merisaukan kerana Piala Presiden dan Piala Belia adalah dua kejohanan penting untuk ketengahkan bakat berpotensi di negara kita. Di kejohanan tersebut kita akan dapat saksikan siapa yang layak untuk menyertai skuad muda kebangsaan.

"Tambahan pula, kejohanan sebegini ada banyak perlawanan, jadi ia adalah satu pendedahan berkelas tinggi yang baik buat para pemain beraksi sesama mereka dalam kelas umur yang sama," katanya kepada Majoriti.

Memandang kepada kesan yang menanti, Avinesh berpendapat skuad muda kebangsaan akan berdepan kesukaran dalam menyediakan skuad terbaik memandangkan Harimau Muda akan beraksi dalam Kejohanan Asean B-23 pada tahun ini.

"Dengan pengurangan pilihan pemain yang ada (pool players), ia pasti akan menyukarkan Nafuzi Zain untuk mendapatkan pemain terbaik.

"Itu adalah kesan jangka pendek, namun kesan jangka panjang pula akan menyaksikan lebih ramai pemain import di negara kita dinaturalisasikan.

"Kita mungkin akan lihat lebih ramai pemain import yang tinggal di Malaysia dinaturalisasikan. Ia bukanlah satu impak buruk, mungkin boleh jadi nilai tambah. Tetapi, kita akan lihat situasi itu sebagai perkara buruk kerana kita lebih memilih untuk lihat pemain tempatan yang berlatih di Malaysia berjaya kembangkan karier sehingga ke luar negara dan berkhidmat untuk skuad kebangsaan," jelasnya.

Johor Darul Ta'zim merupakan juara Piala Presiden 2024.

Bagi memastikan industri bola sepak Malaysia tidak runtuh sekali gus menafikan peluang buat bakat muda untuk menyinar, Avinesh berasakan mentaliti harus diubah terlebih dahulu.

Padanya, setiap pihak harus mengubah mentaliti dan pemikiran serta menjadikan proses pembangunan pemain muda lebih profesional supaya bola sepak Malaysia lebih berjaya.

"Pada saya, asas itu amat penting, terutamanya jika perubahan hendak dibetulkan bermula dengan skuad kebangsaan, ia kemudiannya akan turun ke bahagian bawah dan mengubah landskap bola sepak negara termasuklah dalam hal liga, kelab, pemain dan pembangunan akar umbi.

"Mentaliti majoriti daripada kita hanya membangunkan bola sepak apabila tengah semangat saja, bukannya secara profesional. Kita tak nak, di masa depan ibu bapa akan cakap dengan anak-anak mereka jangan jadikan bola sepak sebagai lubuk mencari rezeki, hanya buat kerana sukakan sukan itu saja.

"Sekarang ini, banyak kejohanan bagi pemain muda bertaraf tinggi diadakan dan ia perlu diprofesionalkan. Jika kita tak buat, tiada guna kita bercakap mengenai perubahan. Mentaliti harus ditukar, dan ia amat mustahak," jelas Avinesh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram