
CABARAN besar menanti Johor Darul Ta'zim (JDT) menjelang kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite menentang Shandon Taishan di China pada Selasa.
Selain perlu berdepan pasukan berkenaan, skuad Harimau Selatan akan beraksi dalam cuaca dingin dan sejuk dalam pertembungan yang diadakan di Stadium Olimpik Jinan.
Berdasarkan ramalan cuaca terkini, pertembungan itu akan diadakan pada suhu 2 darjah Celcius yang pastinya menyukarkan wakil Liga Super itu melihat kepada pengalaman mereka beraksi di sekitar Asia Timur.
BACA LAGI: Bidoglio optimis JDT bangkit usai dimalukan Gwangju, tak mustahil Selangor senasib Ulsan
BACA LAGI: Hector Bidoglio puas hati, gabungan rekrut baharu, bintang terpinggir JDT menjadi
Bidoglio menegaskan pasukannya akan menerapkan taktikal serangan ke atas Shandong Taishan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jadi, untuk menyesuaikan diri, JDT mengambil keputusan untuk hadir lebih awal bagi membolehkan mereka mengadakan sesi latihan dengan pengendali mereka, Hector Bidoglio menegaskan pasukannya memiliki perancangan jelas.
"Kami perlu menempuhi cabaran daripada pihak lawan selain keadaan cuaca, tetapi kami sudah bersedia. Saya berpuas hati dengan persembahan anak-anak buah sepanjang ACL Elite.
"JDT bersaing dengan pasukan terbaik sekitar Asia dan kami sudah membuktikan kami merupakan antara yang terbaik. JDT sudah beraksi dengan baik dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Jadi, kini masanya untuk ACL Elite," katanya.
Selepas mengharungi empat perlawanan, kelab Selatan tanah air itu sudah mengumpul tujuh mata yang meletakkan mereka di kedudukan keempat dan berpeluang cerah untuk ke peringkat seterusnya.
Bagi Shandong Taishan pula, mereka kini menduduki tangga kesembilan dengan kekalahan baru-baru ini kepada pasukan Korea Selatan, Pohang Steelers menyukarkan hasrat pasukan itu untuk mara.
Persiapan lebih awal sudah diadakan bagi memastikan pemain JDT dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Jadi, pasukan terbabit pasti akan menunjukkan persembahan lebih baik dalam usaha mengumpul tiga mata untuk berada menduduki kelompok lapan teratas bagi melayakkan diri ke pusingan kalah mati.
Tetapi, Bidoglio tidak mahu mengibarkan bendera putih terlalu awal sambil menegaskan taktikal menyerang akan diterapkan bagi membuka peluang lebih cerah buat JDT.
"Kami hadir ke perlawanan ini dengan sasaran meraih kemenangan, jadi kami akan mendominasi pihak lawan. Kami tahu tiga mata itu akan memberi peluang cerah untuk kami mara," katanya lagi.
Melihat kepada pertembungan lalu, skuad Harimau Selatan masih bergelut untuk meraih kemenangan setiap kali beraksi di tempat lawan setiap kali beraksi di pentas Asia.
Namun, rekod buruk itu sudah tentu mahu diatasi dengan mereka kini sudah menjadi antara pasukan digeruni dengan persembahan lebih baik berjaya ditonjolkan. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram