
SELANGOR FC sekali lagi akan membuat kemunculan di pentas Asia dalam kejohanan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL 2) selepas mengesahkan kedudukan mereka sebagai naib juara Liga Super pada 8 Mac lalu.
Kemenangan Selangor 7-0 ke atas Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) telah mengesahkan tiket mereka ke Asia sekali lagi selepas gagal melepasi peringkat kumpulan ACL 2 musim ini.
Pastinya pihak pengurusan dan pengendali Selangor, Katsuhito Kinoshi sedang membuat perancangan rapi untuk menghadapi saingan liga dan ACL 2 musim depan.
BACA LAGI: Ada import Jepun musim depan, 3 pemain mungkin ikut Kinoshi sertai Selangor FC
BACA LAGI: Misi 'double' makin sukar, Liverpool hilang 4 tonggak penting sebelum aksi final Piala EFL
Melihat Lion City Sailors (Singapura) berjaya melangkah ke separuh akhir ACL 2 bersama-bersama Sydney FC (Australia), Sharjah FC (Emiriah Arab Bersatu) dan Al-Taawoun FC (Arab Saudi) pastinya Selangor juga memasang impian untuk berada di kelompok empat terbaik kejohanan itu musim depan.
Lion City Sailors membuat kejutan layak ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Sanfrecce Hiroshima (Jepun) dengan keputusan agregat 4-1 sekali gus menjadi pasukan pertama dari Singapura yang berpeluang beraksi di pentas akhir ACL 2.
Dengan ACL 2 telah memasuki peringkat separuh akhir, Majoriti senaraikan empat pemain dari Lion City Sailors, Sydney FC, Sharjah FC dan Al-Taawoun wajar mendapat perhatian pihak pengurusan Selangor musim depan:
1. Renne Rivas
Pemain nasional Venezuela, Renne Rivas wajar mendapat perhatian pihak pengurusan Selangor jika mahu memperkuatkan barisan pertahanan Gergasi Merah musim depan.
Baru berusia 22 tahun, Rivas sudah mempunyai pengalaman yang sangat matang untuk diletakkan dalam kesebelasan utama pasukan.
Bersama Al-Taawoun, Rivas telah tampil dalam 28 perlawanan dan menjaringkan dua gol serta dua 'assist' di semua kejohanan domestik ataupun antarabangsa.
Jika Selangor berminat, peluang cerah untuk mereka merampas Rivas kerana pemain itu akan tamat kontrak pada 31 Julai lalu pulang ke pangkuan kelab asalnya, Caracas FC (Venezuela).
2. Shahin Abdulrahman
Bekas bek tengah UAE, Shahin Abdulrahman antara tonggak penting yang membawa Sharjah FC layak ke pentas separuh akhir ACL 2 musim ini.
Pemain berusia 32 tahun itu antara calon sesuai untuk menggantikan import Asia kerana pengalaman yang dimiliki pemain pertahanan itu.
Untuk rekod, Abdulrahman pernah beraksi menentang Malaysia dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022 yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 0-4 di Stadium Zayed Sports City, UAE pada 3 Jun 2021.
Selangor berpeluang untuk mendapatkan Abdulrahman secara percuma selepas kontraknya bersama Sharjah FC bakal tamat 30 Jun ini.
3. Shawal Anuar
Penyerang Lion City Sailors, Shawal Anuar antara pemain yang mendapat tumpuan dalam kejohanan Piala AFF 2024 selepas mempamerkan aksi menakjubkan bersama skuad Singapura.
Pemain berusia 34 tahun itu turut mengulangi kejayaan itu bersama Lion City Sailors musim ini apabila meledak lapan gol dalam 10 penampilan di ACL 2.
Manakala dalam saingan domestik, Shawal berjaya menjaringkan 15 gol dan 11 assist dalam 23 perlawanan liga.
Kontrak Shawal bersama Lion City Sailors akan tamat pada Disember 2025 dan pastinya sukar untuk Selangor mendapatkan khidmat pemain sayap kiri itu kerana Liga Super 2025/26 telah bermula.
4. Douglas Costa
Jika Selangor memasang impian untuk membawa 'marquee player', Douglas Costa antara jawapan tepat untuk menarik perhatian dunia melihat Gergasi Merah musim depan.
Musim ini, pemain berusia 35 tahun itu antara tonggak utama Sydney FC dalam saingan ACL 2 apabila tampil dalam tujuh perlawanan.
Costa yang telah beraksi bersama pasukan-pasukan gergasi dunia seperti Juventus (Itali) dan Bayern Munich (Jerman) pastinya mempunyai pengalaman mahal untuk disumbangkan kepada Selangor musim depan.
Namun begitu, kontrak Costa bersama Sydney FC tamat pada 30 Jun 2026 dan pastinya sukar untuk Gergasi Merah mendapatkan khidmatnya musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram