Dibina dengan mentaliti Onana, kiper Man United dapat 'last laugh' lepas singkirkan Matic dan Lyon


  • Podium
  • Jumaat, 18 Apr 2025

Onana melompat girang selepas United menewaskan Lyon.

MANCHESTER United berjaya mara ke separuh akhir Liga Europa (UEL) selepas menumpaskan kelab Perancis, Olympique Lyonnais (Lyon) dalam satu aksi penuh drama di Old Trafford, England pada Khamis.

Dua gol minit akhir oleh Kobbie Maino dan Harry Maguire pada separuh masa kedua masa kecederaan membolehkan United mara ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 7-6.

Ia membolehkan United menempah pertemuan dengan kelab Sepanyol, Athletic Club sebelum bertemu sama adalah Tottenham Hotspur atau Bodo/Glimt pada aksi akhir, jika layak.

BACA LAGI: Buat silap tak sudah, Onana akhirnya digugurkan dari skuad Man United

BACA LAGI: Tidak tahan kesilapan Onana-Altay, Man United dilapor pantau bekas penjaga gol Arsenal 

Kemenangan dramatik itu jelas disambut dengan gembira oleh penyokong United. Namun begitu, ada satu pemain yang benar-benar menganggap kemenangan itu satu kejayaan besar.

Penjaga gol United, Andre Onana secara terbuka meraikan kejayaan tersebut dengan mengatakan kemenangan kelabnya dibina oleh hasil mentaliti dibina olehnya.

"Dibina dengan mentaliti Onana," kata penjaga gol itu di media sosialnya.

Kemenangan United ke atas Lyon itu cukup signifikan terhadap Onana yang sebelum ini berdepan perang saraf dengan pemain Lyon iaitu Nemanja Matic.

Sebelum perlawanan pertama di Perancis, Matic mengatakan yang Onana adalah "penjaga gol paling teruk dalam sejarah moden United." Ia berlaku selepas Onana mengatakan kelab Perancis itu tidaklah sebagus mana.

Apa yang dikatakan Matic itu seakan benar apabila Onana melakukan dua kesilapan mudah pada aksi pertama hinggakan United terlepas kemenangan.

Namun dengan kemenangan diraih pada aksi timbal balik, Onana boleh mempunyai last laugh terhadap Matic selepas dia dan United mara ke separuh akhir manakala Lyon tersingkir.

Setakat artikel ini ditulis, Matic masih belum memberikan sebarang respons selepas United menyingkirkan Lyon. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram