
PENJAGA gawang Manchester United, Andre Onana sekali lagi menjadi bahan bualan ramai selepas pemain berkenaan melakukan dua kesilapan sehingga menyebabkan pasukannya terlepas peluang meraih kemenangan ke atas Olympique Lyonnais.
Dalam aksi suku akhir pertama Liga Europa UEFA (UEL) pada Jumaat, pemain kebangsaan Cameroon itu gagal menghalang dua gol mudah, termasuk kesilapan minit akhir yang dimanfaatkan pihak lawan.
Ini bukanlah kali pertama bekas tonggak Inter Milan berkenaan melakukan kesilapan besar kerana sejak menyertai skuad The Red Devils pada 2023/24, dia sudah menjadi bahan bualan penyokong.
BACA LAGI: Manchester United dah jumpa pengganti Andre Onana
BACA LAGI: Man United sedia jual Rashford 'salin' skuad, peliknya Onana-Amad antara yang kekal di Old Trafford
Berang dengan prestasinya, pengendali Manchester United, Ruben Amorim kemudian mengambil keputusan menggugurkannya daripada pasukan menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Newcastle United pada Ahad.
Dalam laporan agensi media antarabangsa, pengurus muda terbabit berbuat demikian dengan harapan dia akan lebih bersedia bagi aksi akan datang, termasuk pertembungan kedua menentang Olympique Lyonnais.
Posisi penjaga gol untuk aksi di St James Park dijangka diisi Altay Bayindir yang meskipun sudah lama tidak beraksi, dia berjaya memberi persembahan terbaik setiap kali diberi peluang.
Ini termasuk kejayaan membantu pasukannya mencipta kemenangan bergaya ke atas Arsenal dalam pusingan awal Piala FA pada Januari lalu dengan tiga penalti ditepis sepanjang perlawanan.
Bayindir dijangka menjadi pilihan Amorim untuk mengisi kekosongan bakal ditinggalkan Onana. — Agensi
Bagaimanapun, penjaga gol dari Turki itu masih sukar merebut tempat dalam kesebelasan utama kerana Amorim masih memberi kepercayaan penuh kepada Onana yang lebih berpengalaman.
Tetapi, kesilapan yang kerap dilakukan memaksa pengendali Manchester United tersebut melakukan perubahan dalam usaha meraih tiga mata yang akan membantu mereka ke kedudukan lebih baik.
Sejak menyertai skuad The Red Devils dengan yuran perpindahan sebesar £43.7 juta atau RM259.5 juta berdasarkan nilai tukaran dua tahun lalu, Onana gagal membuktikan kebolehan sebenarnya.
Berdasarkan rekod, dia sudah melakukan sebanyak lapan kesilapan yang kemudian menyaksikan gawangnya dibolosi dengan angka itu adalah yang tertinggi dalam kalangan penjaga gol beraksi dalam EPL.
Namun, di sebalik rekod merisaukan itu, Onana masih memiliki reputasi baik kerana berdasarkan statistik semasa, dia melakukan 3.4 tepisan bagi satu-satu perlawanan yang merupakan pulangan tertinggi dalam kalangan penjaga gawang Manchester United sejak 2003/04. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram