Tidak tahan kesilapan Onana-Altay, Man United dilapor pantau bekas penjaga gol Arsenal 


  • Podium
  • Selasa, 15 Apr 2025

Altay (tengah) turut dikecam selepas melakukan kesilapan yang membawa kepada gol keempat Newcastle. — Agensi 

MANCHESTER United dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan khidmat Aaron Ramsdale dalam usaha menyelesaikan kemelut di posisi penjaga gol yang semakin meruncing di kelab itu.

Menurut laporan The Sun, Ramsdale yang kini bersama Southampton, muncul sebagai calon utama untuk menyertai skuad Red Devils selepas dua penjaga gol iaitu Andre Onana dan Altay Bayindir, masing-masing gagal memberikan persembahan meyakinkan dalam perlawanan terkini.

Onana tidak diturunkan ketika kekalahan memalukan 4-0 kepada Newcastle pada Ahad lalu, selepas persembahan hambar dalam aksi menentang Lyon yang berakhir dengan keputusan seri 2-2 dalam saingan Liga Europa.

BACA LAGI: Buat silap tak sudah, Onana akhirnya digugurkan dari skuad Man United

BACA LAGI: 'Saya akan kejar impian saya', penyerang Brazil beri petunjuk sertai Man United

Dalam perlawanan berkenaan, penjaga gol skuad kebangsaan Cemeroon tersebut dipersalahkan atas dua gol yang dibolosi termasuk jaringan penyamaan lewat oleh pemain Lyon iaitu Rayan Cherki.

Penjaga gol gantian, Altay yang mengisi tempat Onana turut dikecam selepas melakukan kesilapan yang membawa kepada gol keempat Newcastle. 

Cubaan hantaran ke tengah padangnya dipintas dan dimanfaatkan oleh Bruno Guimaraes untuk menjaringkan gol. Kesilapan itu mengundang kritikan pedas daripada legenda United, Roy Keane yang menyifatkannya sebagai kesalahan asas yang tidak sepatutnya berlaku.

Ramsdale mengalami penyingkiran liga buat kali ketiga dalam kariernya. — Agensi

Situasi tersebut jelas menambahkan tekanan kepada pengendali skuad The Red Devils, Ruben Amorim yang kini berdepan dilema besar menjelang aksi penting timbal balik Liga Europa pada Khamis ini.

Laporan turut menyebut bahawa walaupun United bersemangat mahu mendapatkan Ramsdale, mereka bakal berdepan saingan daripada West Ham yang turut berminat terhadap pemain berusia 26 tahun itu. 

Ramsdale yang pernah beraksi bersama Arsenal dan Bournemouth, berkemungkinan akan meninggalkan St Mary's pada penghujung musim ini selepas mengalami penyingkiran liga buat kali ketiga dalam kariernya.

Difahamkan, Ramsdale lebih cenderung untuk terus kekal di Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memastikan namanya terus menjadi pilihan dalam skuad England kendalian Thomas Tuchel menjelang kejohanan antarabangsa akan datang. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram