
DEBARAN menjelang aksi persahabatan antara Asean All Stars dan Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 Mei depan semakin dirasa dengan orang ramai sudah sibuk mendapatkan tiket perlawanan.
Ini kerana peminat bola sepak antarabangsa pasti tidak mahu terlepas peluang menyaksikan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu beraksi di tanah air selepas kali terakhir hadir lebih 10 tahun lalu.
Tidak cukup dengan itu, perlawanan tersebut akan menarik untuk disaksikan kerana peminat berkesempatan menyaksikan bintang sekitar Asia Tenggara berada dalam sebuah pasukan.
BACA LAGI: Bruno, Onana daya tarikan di Bukit Jalil, Faisal Halim-Arif Aiman jadi pilihan barisi Asean All Star
Perlawanan persahabatan itu dijangka menarik puluhan ribu penyokong untuk hadir ke stadium.
Pasukan Asean All Stars yang bakal dikendalikan ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang-sik sudah tentu mengharapkan pemain terbaik dapat hadir memeriahkan aksi terbabit.
Namun, dengan jadual di liga-liga sekitar Asia Tenggara masih padat, terdapat kemungkinan nama-nama besar tidak dapat beraksi kerana sukar untuk meraih pelepasan dari pihak kelab.
Setakat ini, hanya Asnawi Mangkualam dan Muhammad Ferrari yang berada dalam senarai pemain dikenali ramai dengan kehadiran mereka diharapkan dapat menarik lebih ramai peminat dari Indonesia untuk membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Sang-sik boleh menarik nafas lega selepas tiga lagi bintang Asia Tenggara hampir sah menyertai pasukannya dengan semua daripadanya beraksi buat Harimau Malaya seperti mana dilaporkan Zulhelmi Zainal Azam.
Kehadiran ketiga-tiga pemain Liga Super itu akan memeriahkan lagi perlawanan berkenaan.
"Haziq Nadzli, Dominic Tan dan Sergio Aguero difahamkan akan perkuat Asean All-Stars untuk aksi menentang Manchester United di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 28 Mei ini," tulisnya di laman X.
Berdasarkan jadual semasa, ketiga-tiga mereka tidak mempunyai sebarang masalah untuk diturunkan memandangkan perlawanan akhir Liga Super berlangsung pada hujung minggu ini sementara Aguero akan beraksi buat kali terakhir dalam pentas final Piala Malaysia pada 26 April ini.
Tetapi, mereka masih perlu menunggu keputusan daripada kelab masing-masing serta barisan kejurulatihan skuad kebangsaan memandangkan semua perlu mendapatkan rehat secukupnya sebelum aksi menentang Vietnam dalam kempen Kelayakan Piala Asia 2027 pada 10 Jun.
Sekiranya kesemua pemain berkenaan dapat diturunkan, kemeriahan sudah tentu dapat dirasakan kerana peminat bola sepak tempatan mahu menyaksikan pertembungan mereka dengan gergasi EPL terbabit.
Dari segi pengalaman pula, peluang yang sukar diraih itu pasti sukar ditolak kerana jadual bola sepak semakin padat menyukarkan aksi persahabatan sedemikian untuk diulangi dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram