Getir bertemu Lyon di Old Trafford, Man United tempang tanpa 7 tonggak 


  • Podium
  • Rabu, 16 Apr 2025

Dalam aksi pertama di Parc Olympique Lyonnais minggu lalu, Man United merekodkan seri 2-2 kepada Lyon.  — Agensi 

MANCHESTER United berdepan cabaran besar menjelang perlawanan timbal balik suku akhir Liga Europa menentang Olympique Lyonnais pada Jumaat, apabila sehingga tujuh pemain utama dijangka tidak dapat diturunkan akibat kecederaan.

Pasukan kendalian Ruben Amorim berkenaan akan menerima kunjungan kelab di kedudukan keempat pada saingan Ligue 1 tersebut di Old Trafford, Manchester, England dengan agregat terikat 2-2.  

Dalam perlawanan pusingan pertama di Parc Olympique Lyonnais minggu lalu, dua kesilapan penjaga gol skuad The Red Devils iaitu Andre Onana membolehkan Lyon bangkit untuk mengikat kedudukan.

BACA LAGI: Tidak tahan kesilapan Onana-Altay, Man United dilapor pantau bekas penjaga gol Arsenal 

BACA LAGI: Buat silap tak sudah, Onana akhirnya digugurkan dari skuad Man United

Namun begitu, perhatian kini tertumpu kepada senarai kecederaan yang semakin membimbangkan buat skuad The Reds. Penyerang muda, Joshua Zirkzee yang turut menjaringkan gol dalam perlawanan pertama mengalami kecederaan paha.

Kecederaan memaksa pemain kebangsaan Belanda itu terpaksa dikeluarkan pada awal separuh masa kedua ketika kekalahan 4-1 kepada Newcastle United dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad lalu.

Amorim kemudiannya mengesahkan bahawa pemain berusia 23 tahun itu hampir pasti tidak akan diturunkan menentang Lyon.

Selain Zirkzee, empat lagi pemain iaitu Matthijs de Ligt, Tobias Collyer, Ayden Heaven dan Amad Diallo turut disahkan tidak cergas sepenuhnya dan akan terus diketepikan buat sementara waktu. 

Zirkzee cedera ketika kekalahan 4-1 kepada Newcastle United dalam aksi EPL pada Ahad lalu. — Agensi

Berdasarkan laporan media luar negara, kesemua mereka masih dalam fasa pemulihan, namun berpeluang kembali menyarung jersi Man United sebelum musim 2024/2025 akan melabuhkan tirainya.

Manakala, nasib dua lagi tonggak pertahanan, Lisandro Martinez dan Jonny Evans masih belum diketahui. 

Martinez mengalami kecederaan ligamen lutut (ACL) ketika menentang Crystal Palace pada Februari, manakala Evans tidak lagi beraksi sejak Disember disebabkan masalah kecederaan jangka panjang.

Ketiadaan ramai pemain utama ini dijangka menyukarkan misi United untuk mara ke separuh akhir Liga Europa, sebelum mereka kembali fokus kepada saingan domestik menentang Wolverhampton Wanderers hujung minggu ini. — Agensi 

    Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram