[VIDEO] Lepas coach Vietnam diumum bimbing ASEAN All Star, Hojlund-Eriksen ajak makan nasi lemak di KL


  • Podium
  • Khamis, 10 Apr 2025

Sang-sik dipilih jadi pengendali pasukan ASEAN All-Stars bagi kejohanan Maybank Challenge Cup menentang Man United. — Agensi

KELAB gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United disahkan akan kembali ke Malaysia selepas 16 tahun dalam siri jelajah pascamusim bulan depan bagi menentang pasukan ASEAN All-Stars pada 28 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur.

Kehadiran juara 13 kali EPL berkenaan ke Malaysia pastinya mengujakan penyokong skuad The Red Devils di negara ini dengan kali terakhir pasukan tersebut singgah ke Malaysia adalah pada 2009.

Selain penyokong tanah air yang tidak sabar melihat kedatangan pasukan bimbingan Ruben Amorim berkenaan, pemain Man United juga nampaknya berkongsi keterujaan mereka untuk bertemu pengikut mereka di Malaysia.

BACA LAGI: 'Tak sabar tengok Arif Aiman ole Maguire', JDT jadi pilihan lawan Man United

BACA LAGI: Trio Elanga-Rashford-Welbeck lebih baik daripada penyerang sekarang — Legenda Man United

Menerusi video yang dimuat naik Stadium Astro pada Khamis, dua pemain kelahiran Denmark Man United iaitu Rasmus Hojlund dan Christian Eriksen menyuarakan hasrat mencuba makanan ikonik tanah air iaitu nasi lemak.

Dalam video berdurasi 14 saat tersebut, Eriksen mengajak penyerang muda berkenaan untuk mencuba nasi lemak di Kuala Lumpur (KL). Ia sebenarnya satu promosi ekslusif Stadium Astro sempena Manchester United bertandang ke di SNBJ.

Perkembangan terkini mengenai dari Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengumumkan ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang-sik dipilih sebagai pengendali pasukan ASEAN All-Stars bagi kejohanan Maybank Challenge Cup menentang Manchester United.

Pemilihan Sang-sik untuk mengemudi ASEAN All-Stars berdasarkan rekod cemerlangnya membimbing skuad Naga Emas dengan dia diyakini sebagai calon terbaik untuk memimpin skuad pilihan Asia Tenggara bagi perlawanan itu.

 

 

Presiden AFF, Mejar Jeneral Khiev Sameth berkata, pengendali dari Korea Selatan itu dianggap simbol kemajuan dan profesionalisme serta memberi inspirasi kepada seluruh generasi pemain bola termasuk peminat.

"Perlawanan ini adalah detik kebanggaan serantau yang mana ia turut membuktikan bola sepak mampu meningkatkan daya hidup. Bagi pihak AFF, saya merakamkan penghargaan kepada ProEvents atas usaha mereka menganjurkan perlawanan ini.

"Terima kasih juga kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atas sokongan dan kerjasama yang tidak berbelah bahagi sebagai tuan rumah serta ahli gabungan AFF.

"Tidak dilupa juga kepada Maybank atas tajaan jenama mereka. Sumbangan kolektif mereka amat penting dalam menghidupkan acara yang luar biasa ini." kata Sameth dalam kenyataan dikeluarkan pada Khamis.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Vietnam, Kim Sang-sik. — Agensi

Sementara itu, Sang-sik menyifatkan satu penghormatan buat dirinya apabila dipilih untuk mengemudi pasukan yang akan dibarisi pemain terbaik ASEAN dan bertarung dalam perlawanan besar menentang Manchester United.

"Kami bukan sekadar mewakili negara, tetapi kami secara bersama membuktikan kepada dunia mengenai kebanggaan, semangat, dan kekuatan seluruh rantau ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram