[VIDEO] Prestasi tidak menentu buat Perak FC sukar tarik penaja — Azim Zabidi


  • Podium
  • Selasa, 23 Jan 2024

Azim yang merupakan pengerusi kelab pastinya sedang memikirkan langkah terbaik untuk memacu skuad TBG. — Facebook/Perak FC

KEPULANGAN Perak FC ke kancah Liga Super musim lalu tidak memberikan pulangan yang lumayan kerana mereka hanya berada di tangga ke-11.

Meskipun terdapat peningkatan dari segi prestasi pada penghujung saingan, jurang kualiti antara pasukan berkenaan dengan pencabar lain menyebabkan mereka terpaksa akur dengan kedudukan akhir itu.

Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong kurang berpuas hati dengan persembahan dipamerkan skuad The Bos Gaurus (TBG) yang hanya merekodkan 22 mata daripada 26 perlawanan dengan 16 kekalahan dialami sepanjang kempen.

Lebih merisaukan lagi, situasi itu juga pastinya akan menyebabkan kelab Utara tanah tersebut sukar menarik penaja baharu bagi saingan musim depan.

Isu berkenaan turut diakui Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi yang khuatir bahawa prestasi mereka musim lalu akan menyukarkan proses mengukuhkan lagi kedudukan kewangan mereka.

BACA LAGI: Kami tiada pertikaian dengan Teong Kim, cuma dia yang tolak penyelesaian — Azim

BACA LAGI: Impian besar PFC diwakili kesebelasan anak Perak — Azim Zabidi

"Ia tidak memberangsangkan, mungkin Perak FC itu sendiri asyik kalah sahaja. Selalunya, jika ada mana-mana pihak mahu membuat penajaan, mereka mahu pasukan tersebut sering peroleh kemenangan.

"Tetapi, pada masa yang sama, kita juga telah memohon bantuan daripada agensi dan syarikat-syarikat kerajaan negeri Perak untuk membantu," katanya seperti mana dikongsikan wartawan tanah air, Fina Nasrom.

Musim lalu, skuad TBG berada di bawah tajaan XOX Pro Sport Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat XOX Bhd dengan syarikat tersebut disahkan sebagai pemilik penuh pasukan pada 2022.

Kehadiran syarikat telekomunikasi itu boleh dianggap sebagai titik kebangkitan buat Perak FC yang sebelum ini tersingkir ke Liga Perdana akibat isu kewangan.

Meskipun berada di kedudukan ke-11 Liga Super, penyokong masih mampu mengukir senyuman sekiranya dilihat semula prestasi pasukan musim lalu kerana berjaya merebut slot ke separuh akhir Piala Malaysia.

Bagaimanapun, pencapaian tersebut masih belum cukup untuk memuaskan hati pihak pengurusan yang kini sudah mengatur langkah dalam memperkuatkan lagi pasukan apabila sudah mengumumkan kehadiran dua nama baharu, Tommy Mawat Bada dan Nur Azfar Fikri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram