Impian besar PFC diwakili kesebelasan anak Perak — Azim Zabidi


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 25 Dis 2023

Perak musim ini mengharungi pelbagai cabaran suka dan duka. — Facebook/Perak FC

BOLA Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pegawai, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan bola sepak tempatan.

TIDAK mudah untuk merantai Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, untuk satu temu bual. Bukan kebiasaan untuk tokoh korporat yang juga pengerusi bukan eksekutif syarikat senaraian awam, XOX Bhd, ini untuk diajak duduk bersebelahan bagi menjawab soalan-soalan ‘cepumas’ berkaitan pasukan yang dipimpinnya melainkan ia satu sidang akhbar yang telah diatur.

Apatah lagi, Perak FC yang tidak sunyi daripada kontroversi pemecatan ketua jurulatihnya, Datuk Lim Teong Kim, yang awalnya membawa bersamanya harapan besar, kesudahannya menamatkan musim sekadar di tangga ke-11 – atau hanya tiga takuk lebih baik daripada Kelantan FC di tangga terbawah.

Terserempak dengannya di satu majlis perkahwinan anak seorang rakan di Pusat Belia Antarabangsa (IYC), Cheras semalam (Sabtu), peluang tidak dilepaskan untuk merakamkan temu bual dengannya.

Abdul Azim, yang ditemani Ketua Pegawai Operasi Perak FC, Meor Azli Meor Mahmod, tidak pun cuba berselindung dalam jawapannya.

Menjelang laluan lurus ke garis penamat musim 2023, The Bos Gaurus suatu ketika menduduki tangga kesembilan, yang jika berjaya dikekalkan, akan membolehkan penyokong berbangga menduduki kelompok 10 teratas – satu pencapaian yang boleh dianggap membanggakan.

Malangnya, tiga kekalahan berturut-turut – kepada Selangor FC, Sabah FC dan Terengganu FC, menyaksikan Perak FC melurut ke tangga ke-11 dengan himpunan 22 mata – dua mata di bawah Penang FC di tangga ke-10.

411998669_370511682195880_5921498531670582677_n

Yusri (dua dari kiri) berjaya mengubah nasib Perak. — Facebook/Perak FC

Adakah tangga ke-11 mengecewakan?

Abdul Azim: "Kami memang tak ada sasaran yang tinggi musim ini. Pertamanya, perancangan kami ialah untuk berada dalam Liga Super. Itu kami dah buat. Keduanya, nak langsaikan apa juga hutang (Perak FA) yang ada, itu juga kami dah buat. Seterusnya, kami mahu melihat prestasi pemain-pemain supaya tak adalah corot sangat.

“Kemudian kami dapati bahawa pasukan kami boleh bekerjasama hingga kami layak ke separuh akhir Piala Malaysia. Itu kami kira satu bonus. Kalau kami bukan sebuah pasukan yang bagus, kami tidak akan mampu mara sejauh itu.

“Tapi malangnya ketika musim berjalan, ada satu atau dua benda yang telah menghalang kami pergi lebih jauh, umpamanya staf kejurulatihan yang dibawa masuk dan bayar banyak, dia tidak menepati apa yang kami mahukan. Kerana itu, kami terpaksa tukar jurulatih dan ini telah mengganggu sedikit-sebanyak prestasi pasukan dan kesudahannya di nombor 11. Ia bukan sesuatu yang kami tak sangka.

“Musim depan, kami berharap untuk melakukan lebih baik, mungkin di pertengahan carta liga. Mungkin semusim lagi selepas itu, Perak FC akan ‘go for the kill’ dengan meninggalkan impaknya. Semua ini adalah sebahagian perancangan jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang pasukan. Dan kami masih berada di landasan seiring dengan pelan berkenaan."

411706676_370511655529216_2866132772702158181_n (1)

Perak mahu 'all out' pada beberapa musim akan datang. — Facebook/Perak FC

Apakah ia satu kesilapan bermula dengan majoriti pemain muda pada awal musim 2023?

Abdul Azim: "Kami tiada pilihan sebenarnya. Kerana pada awalnya, kami tidak bercadang membawa masuk sebegitu ramai pemain berpengalaman, termasuk dari luar. Tapi kami buat juga. Seorang atau dua pemain asing yang didatangkan terbukti gagal dan kami terpaksa mengetepikan mereka.

Tapi ia sentiasa jadi hasrat Perak FC untuk beri peluang kepada pemain muda Perak. Kami mempunyai impian besar untuk memiliki pemain kesebelasan utama semuanya dari Perak, maksudnya pemain kelahiran Perak. Itu impian terbesar kami.

Kami telah memulakan program pembangunan pemain muda yang saya fikir bercita-cita besar – daripada B-15 naik ke B-18, B-20 seterusnya B-23. Kami sedang berusaha untuk membangunkan program ini daripada peringkat akar umbi."

Apa perancangan bagi musim baru?

Abdul Azim: "Kami akan bawa masuk satu atau dua import baru dalam kalangan mereka yang ada dalam negara dan muka baru dari luar negara. Ketika ini pun, ada banyak kelab yang bermasalah kewangan. Ada ramai pemain, baik lokal atau asing, dah mula tak dapat gaji.

Mereka ini tahu Perak FC disokong syarikat senaraian awam di mana pengurusan kewangan adalah teramat penting. Jadi, ada peluang untuk mereka (menyertai kami). Mereka mungkin tidak akan dapat gaji setinggi pasukan mereka sekarang tapi dengan gaji yang kurang sedikit (bersama Perak FC), mereka akan terima gaji secara konsisten.

411966988_370564398857275_8037820831524897798_n

Wan Zack (kiri) antara watak penting kebangkitan Perak. — Facebook/Perak FC

Kami tiada sebarang masalah pembayaran gaji musim ini, malah tiada gaji yang terlengah pun. Ini satu rekod yang terbaik dibandingkan dengan sesetengah pasukan besar, yang kita tahu ada masalah nak bayar gaji.”

Apa yang boleh dijanjikan kepada penyokong Perak pada 2024?

Abdul Azim: “Satu permainan lebih menarik daripada Perak FC kerana apa yang penting ialah mewujudkan keterujaan supaya penyokong yang datang seronok menonton perlawanan. Seperti yang semua dapat lihat, kami mendapat kehadiran penonton yang lebih besar pada penghujung musim.

“Kalah menang adalah normal tapi kami harap kalau kami kalah pun, janganlah sampai 4,5,6 kosong. Kalau kalah 2-1, 3-2 not so bad lah. Jadi, kami perlu perkuatkan barisan serangan kerana kami sedar di situlah kekurangan kami. Kami berharap untuk melakukan penambahbaikan. Luciano Guaycochea akan dikekalkan tapi kami mungkin akan lepaskan Luka Milunovic yang agak mengecewakan.

Kami baru menandatangani seorang pemain (Tommy Mawat Bada dari Negeri Sembilan FC). Harap-harap dengan kemasukan beberapa pemain lagi, mereka akan terus memperkuatkan pasukan." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram