
KEJOHANAN Piala Presiden kembali lagi untuk musim 2025 dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengumumkan 11 pasukan yang bakal bertanding bagi merebut gelaran juara pertandingan berkenaan.
Menerusi perkongsian terbaharu dari FAM pada Rabu, 11 pasukan yang disahkan akan berentap dalam ialah Johor Darul Ta'zim III, Selangor FC, Terengganu FC Bawah 20 Tahun (B-20), Negeri Sembilan FC, AMD B-17, Penang FC II, Kuching City FC, PDRM FC dan Sabah FC.
Pengurangan lima pasukan daripada musim lepas itu menimbulkan persoalan daripada penyokong domestik lagi-lagi selepas nama kelab popular seperti Kedah Darul Aman (KDA), Sri Pahang, Perak, dan Kelantan Darul Naim (KDN) tiada dalam saingan Piala Presiden.
BACA LAGI: [VIDEO] Kedah perlu selesai tunggakan gaji sebelum 30 April
Masakan tidak, ketiadaan mereka dalam pertandingan peringkat akar umbi ini bukan sahaja mengejutkan tetapi juga mengisyaratkan potensi masalah dalaman yang lebih besar yang mungkin mempengaruhi penyertaan mereka dalam Liga Super musim depan.
Piala Presiden merupakan antara platform pembangunan bakat muda domestik. Ketidakhadiran empat pasukan tersebut bukan sahaja melemahkan persaingan dalam kejohanan itu, malah memperlihatkan kemungkinan bahawa mereka sedang menghadapi cabaran dari segi kewangan.
Oleh itu, apabila empat pasukan itu tidak mendaftarkan skuad untuk Piala Presiden, ia membangkitkan persoalan sama ada mereka mampu memenuhi syarat pelesenan kelab yang ketat bagi musim 2025, termasuk pembangunan pasukan remaja.
Untuk rekod, empat pasukan berkenaan tidak dinafikan sedang diuji dengan masalah kewangan sehingga menyaksikan pemain dan kakitangan mereka mengalami tunggakan gaji mencecah berbulan-bulan.
Misalnya, KDA FC perlu menyelesaikan tunggakan gaji berjumlah RM7 juta jika ingin kekal dalam Liga Super musim depan dengan pengurusan Sang Kenari diberi tempoh sehingga 30 April ini oleh pengendali liga, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menyelesaikan tunggakan tersebut.
Dalam pada itu, petunjuk-petunjuk seperti kehilangan nama mereka dalam skuad Piala Presiden mengundang keresahan di kalangan penyokong susulan Kedah, Pahang dan Perak merupakan pasukan bersejarah yang telah membentuk identiti bola sepak Malaysia.
KDA FC dilaporkan mengalami tunggakan gaji berjumlah RM7 juta. — Facebook/KDAFC
FAM serta MFL perlu memberi penjelasan tentang situasi sebenar. Ketelusan dalam isu ini penting bagi meredakan keresahan peminat dan memastikan bahawa segala keputusan yang diambil berdasarkan asas profesional dan bukan tekanan luar.
Jika benar keempat-empat pasukan ini tidak mampu menyertai Liga Super 2025, maka ia membuka ruang kepada pasukan lain dari Liga A1 Semi Pro dinaikkan atau menjemput kelab luar negara untuk bertanding dalam saingan domestik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram