
PENJAGA gol Perak FC, Haziq Nadzli menganggap pencalonannya dalam kategori penjaga gol terbaik bagi Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) musim 2024/2025 adalah penghargaan kepada kariernya.
Sudah sembilan tahun dalam bola sepak Malaysia, Haziq mengakui dirinya berasa bangga apabila berjaya mendapat pencalonan tersebut selepas mengharungi musim yang baik bersama-sama Perak.
Haziq bakal bersaing dengan dua lagi calon iaitu Syihan Hazmi (Johor Darul Ta'zim) dan Kalamullah Al-Hafiz (Selangor FC).
BACA LAGI: Terima kasih TMJ, JDT untuk 7 tahun berharga — Haziq Nadzli
Haziq (kiri) beraksi semasa Perak bertemu Sri Pahang.
Walaupun berasa bangga kerana tercalon, Haziq mengakui saingannya sukar kerana kedua-dua Syihan dan Kalamullah adalah penjaga gol berkualiti.
"Bagi saya dua pemain ini, Syihan dan Kalamullah ada kelebihan masing-masing, macam Syihan dia sudah memenangi kejuaraan Piala FA, Perlawanan Sumbangsih dan Liga Super tahun ini. Macam Kalamullah pula dari segi prestasi, movement juga bagus," kata Haziq menerusi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Musim ini, Haziq bermain untuk Perak sebanyak 17 perlawanan dalam Liga Super dengan penjaga gol itu meraih lima nirbolos (clean sheet).
Persembahan Haziq itu membantu Perak untuk mengharungi musim baik apabila menghuni kedudukan pertengahan liga di tempat ketujuh setakat 23 perlawanan.
Melihat kepada musim depan, semestinya Haziq mahu menjadi penjaga gol yang lebih baik terutamanya selepas tersenarai pendek dalam senarai akhir ABK.
"Matlamat untuk musim hadapan, saya akan teruskan membuat yang terbaik untuk pasukan dan saya akan bekerja keras lagi untuk memperbaiki kelemahan saya,” kata Haziq.
Pengumuman pemenang bagi ABK musim ini akan diketahui pada 23 April (Rabu). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram