
LAMBAKAN pemain import dalam Liga Super sedikit sebanyak membawa kemeriahan kerana penyokong teruja untuk melihat perbezaan dibawa mereka berbanding bintang tempatan.
Kelab-kelab atasan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC merupakan pasukan yang meraih keuntungan besar daripada kehadiran pemain luar kerana kantung kewangan kukuh membolehkan mereka membawa masuk import berkualiti.
Bagaimanapun, ada sebahagian daripada pelaburan dibuat tidak membuahkan hasil memberangsangkan sehingga menyaksikan tempat mereka dalam kesebelasan utama diisi pemain tempatan.
BACA LAGI: [VIDEO] Seperti mengenang nasib, kelibat import NSFC termenung lepas ‘match’ bikin ramai sebak
BACA LAGI: Kekalkan bakat tempatan, TFC cuma perlu rombak barisan import musim depan
JDT dan Selangor FC meraih manfaat dengan lambakan import dalam pasukan.
Selain tidak sesuai dengan taktikal dipakai barisan kejurulatihan, ada daripada mereka gagal menyesuaikan diri kerana kali pertama beraksi dalam persekitaran berbeza dari segi cuaca dan suasana.
Namun, ada juga sesetengah pemain import yang berdepan kesukaran dalam kempen kali ini meskipun ia merupakan musim kedua dalam Liga Super dengan sentuhan mereka sebelum ini cukup memberangsangkan.
Berdasarkan pemerhatian, berikut merupakan tiga pemain luar negara yang menunjukkan kemerosotan berbanding sebelum ini, baik dari segi persembahan mahupun statistik di atas padang.
1. Yohandry Orozco (Selangor FC)
Musim lalu, pemain tengah dari Colombia, Yohandry Orozco menjadi watak utama buat Selangor FC yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua, sekali gus berjaya mara ke pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two.
Berdasarkan statistik, dia berjaya membawa sumbangan besar buat pasukannya dengan 11 gol dan 10 bantuan jaringan direkodkan daripada 31 penampilan dalam semua kejohanan.
Pulangan memberangsangkan itu menyaksikan pihak pengurusan mengekalkan khidmatnya dengan pengalaman beraksi di Eropah dan kualiti hantaran diharapkan dapat membantu pasukan di pentas Eropah dan Asia musim ini.
Orozco beraksi cemerlang buat skuad Gergasi Merah pada kempen lalu berbanding kali ini. — Facebook/Selangor FC
Bagaimanapun, harapan itu kurang terbalas kerana sepanjang kempen ini, Orozco tidak mengulangi prestasi seperti musim lalu dengan beberapa siri kecederaan menghalangnya daripada beraksi lebih kerap.
Daripada 32 penampilan di peringkat domestik, pemain berusia 34 tahun itu hanya meledak empat gol dan mencipta dua jaringan yang menunjukkan kemerosotan ketara berbanding kempen lalu.
Jadi, dengan umurnya sudah semakin lanjut, terdapat kemungkinan kontraknya tidak akan disambung dengan ini memberi ruang buat Selangor FC membawa masuk import lebih muda dan berkualiti.
2. Nurillo Tukhtasinov (Terengganu FC)
Pada jendela perpindahan kedua musim 2023, skuad Sang Penyu diperkuatkan dengan kehadiran Nurillo Tukhtasinov di posisi tengah yang merupakan satu penambahan amat memuaskan.
Dia yang pernah beraksi buat skuad kebangsaan Uzbekistan tidak perlu menunggu lama untuk menyesuaikan diri kerana dia berjaya mencipta persefahaman baik bersama rakan sepasukan.
Sumbangan Nurillo lebih bermakna buat skuad Sang Penyu musim lalu. — Instagram/Nurillo Tukhtasinov
Meskipun pulangannya di hadapan pintu gol tidaklah begitu baik, pemain berusia 28 tahun itu kerap diletakkan dalam kesebelasan utama dengan kebolehan dari segi hantaran amat diperlukan.
Bagaimanapun, bagi kempen kali ini, Nurillo kurang mengancam buat Terengganu FC kerana beberapa kali melakukan kesilapan dari segi hantaran atau terlalu lama membuat keputusan sehingga membolehkan pihak lawan mencuri bola.
Isu tersebut dilihat berpunca daripada perubahan kejurulatihan yang menyaksikan Tomislav Steinbruckner digugurkan dan digantikan Badrul Afzan Razali yang mungkin tidak terlalu menekankan aspek serangan.
3. Telmo Castanheira (Sabah FC)
Bagi persiapan untuk bersaing dalam Piala AFC 2023, Sabah FC membawa masuk beberapa import baharu di pelbagai posisi, termasuk Telmo Castanheira yang cukup berpengalaman sebagai pemain tengah.
Selepas bertahun-tahun beraksi di Portugal yang merupakan negara kelahirannya, dia kemudian mencuba nasib dalam suasana berbeza dengan menyertai skuad Sang Badak.
Keputusan itu membuahkan hasil kerana pemain dengan fizikal cukup mengagumkan tersebut hadir sebagai nilai tambah dalam pasukan, lebih-lebih lagi ketika situasi bola mati.
Castanheira belum mencetak gol buat skuad Sang Badak musim ini. — Facebook/Sabah FC
Berdasarkan statistik, bekas pemain Portugal Bawah 17 Tahun (B-17) itu menjaringkan enam gol dan empat bantuan jaringan daripada 27 penampilan dalam semua kejohanan dengan lima daripada gol tersebut dicetak dalam Liga Super.
Tetapi, kemerosotan pula disaksikan bagi kempen kali ini apabila Castanheira masih belum menggegarkan gawang lawan sepanjang 29 kali diturunkan dengan hanya empat bantuan jaringan dilakukan.
Pulangan mengecewakan itu bagaimanapun tidak begitu dirasakan Sabah FC yang masih cemerlang dengan mereka berpeluang menduduki tangga ketiga Liga Super, sekali gus layak ke Piala Shopee musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram