
BEKAS penjaga gol Johor Darul Ta'zim (JDT), Al Hafiz Hamzah, kini memulakan lembaran baharu dalam dunia bola sepak apabila menyertai Perlis City FC sebagai sebahagian daripada barisan kejurulatihan kelab tersebut.
Al-Hafiz yang kini berusia 41 tahun itu merupakan penjaga gol Harimau Selatan sejak musim 2013 hingga 2016 dengan dia membantu JDT memenangi Piala Sumbangsih pada 2015, dan juara Liga Super untuk musim 2014 dan 2015.
Lebih menarik, Al-Hafiz akan berganding bahu dengan bekas pemain tengah Kedah iaitu Faizal Abu Bakar yang juga dikhabarkan akan memikul tanggungjawab sebagai sebahagian barisan kejurulatihan pasukan itu.
BACA LAGI: Kedah, KL City terselamat tapi Perlis United kempunan ke Liga Super
BACA LAGI: KL City ke final Piala AFC, orang Perlis dapat nama
Gabungan dua nama berpengalaman ini dijangka memberi nafas baharu kepada pasukan dari utara tanah air itu, yang kini giat mempersiapkan diri untuk menghadapi saingan Liga A1 Semi-Pro musim depan.
"Mohd Faizal Abu Bakar, Presiden Kelab Bola Sepak FAB dan Muhammad Al-Hafiz Hamzah, yang pernah menabur bakti sebagai jurulatih penjaga gol di Akademi FAB FC telah dipilih menganggotai barisan kejurulatihan untuk sesi pemilihan pemain Perlis City FC.
"Dikhabarkan Perlis City FC dalam tempoh persiapan pasukan bagi penyertaan divisyen liga amatur dan semi-pro kebangsaan, Liga A1.
"Pihak pengurusan Kelab Bola Sepak FAB mendoakan yang terbaik buat kedua-dua jurulatih menabur bakti bersama Perlis City FC dan memberikan yang terbaik untuk kecemerlangan pasukan dan karier kejurulatihan mereka," memetik hantaran Kelab Bola Sepak FAB.
Al Hafiz, yang pernah menyarung jersi beberapa pasukan utama termasuk JDT dan Penang, membawa pengalaman luas di posisi penjaga gol, manakala Faizal dikenali dengan visi permainan dan kecerdasan taktikal semasa kariernya bersama Kedah serta skuad kebangsaan.
Pengurusan Perlis City FC pastinya mahu kombinasi kedua-dua bekas pemain itu mampu membawa pendekatan moden dan bertenaga dalam pembangunan pasukan, terutamanya dalam membentuk bakat muda tempatan.
Dengan pelantikan ini, para penyokong Perlis City FC pastinya menaruh harapan tinggi untuk melihat kelab kesayangan mereka kembali bersaing secara kompetitif di pentas bola sepak negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram