
PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT), Syafiq Ahmad berpotensi besar untuk meninggalkan Kedah Darul Aman FC pada akhir musim ini.
Spekulasi tersebut tercetus susulan satu hantaran di Insta Story miliknya, @syafiq_ahmad20 yang memberi bayangan jelas mengenai masa depannya bersama pasukan dari Utara tanah air itu.
Dalam perkongsian tersebut, Syafiq seolah-olah berkongsikan bahawa dia bersama keluarganya dijangka meninggalkan negeri Kedah dalam masa terdekat.
BACA LAGI: Hampir pasti tinggalkan Sabah, Saddil ada 2 destinasi pilihan termasuk kembali ke pangkuan OKS
BACA LAGI: Khuzaimi Piee berteka-teki, beri ‘hint’ lanjut kontrak atau sertai NSFC, Melaka
Tangkap layar Insta Story Syafiq Ahmad.
Mereka difahamkan akan membawa haluan ke tempat baharu, walaupun destinasi sebenar masih belum dapat dipastikan.
"Dua kali kami memilih untuk balik ke negeri Kedah tapi bukan rezeki kami. Semoga dipermudahkan segala urusan. Next 2025/26," tulisnya.
Hantaran itu turut disertakan dengan gambar sebuah lori membawa barangan rumah, seolah-olah memberi petunjuk perpindahan sedang berlangsung.
Perkongsian tersebut sekali gus menjawab teka-teki yang bermain di minda penyokong Hijau Kuning mengenai masa depan pemain berusia 29 tahun itu bersama pasukan.
Ketiadaan kelibatnya dalam enam perlawanan terakhir Liga Super 2024 bersama Sang Kenari menguatkan lagi spekulasi bahawa penyerang pinjaman dari JDT itu semakin hampir untuk meninggalkan kelab tersebut.
Bagaimanapun, kehilangannya dilaporkan berpunca daripada kecederaan dialami ketika saingan Piala AFF dengan dia terpaksa berehat untuk beberapa bulan sebelum dapat kembali ke atas padang.
Syafiq Ahmad bakal meninggalkan negeri Kedah dalam masa terdekat. — Instagram/syafiq_ahmad20
Nama Syafiq sememangnya tidak asing buat penyokong Sang Kenari apabila pernah menyarung jersi pasukan itu sejak 2013 hingga 2017.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu pernah dipinjamkan dari JDT ke pasukan Kedah pada awal musim 2022 di mana ketika itu Hijau Kuning layak beraksi di pentas Piala AFC.
Namun tempoh pinjaman itu hanya bertahan enam bulan selepas JDT memanggil semula Syafiq untuk memperkuatkan pasukan.
Bagaimanapun, penyerang berketinggian 1.75 meter itu kembali ke pangkuan KDA FC untuk membantu Sang Kenari mengharungi musim 2024/2025.
Kini, masa depan Syafiq Ahmad bersama Sang Kenari dilihat seakan sudah tertutup. Sekiranya perpindahan itu menjadi kenyataan, ia bakal menjadi kali ketiga dia meninggalkan KDA FC dalam kariernya.
Untuk rekod, Syafiq hanya mencatatkan dua gol dan satu hantaran bantuan selepas 15 perlawanan Liga Malaysia bersama Sang Kenari. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram