
PELUANG Selangor FC Bawah 23 Tahun (B-23) menjulang Piala MFL 2024/25 semakin tipis susulan kekalahan dialami kepada Kuala Lumpur (KL) City FC Extension pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, perlawanan itu terpalit dengan kontroversi apabila skuad muda Warga Kota hadir dengan lima pemain senior, termasuk Paulo Josue yang hadir sebagai kapten.
Meskipun tidak salah dari segi peraturan, keputusan pasukan kendalian Nidzam Adha tersebut menerima respons kurang senang daripada peminat yang sedikit pelik dengan kehadiran bintang ternama.
BACA LAGI: Sanggup turunkan pemain senior, fans anggap lawan cuba gagalkan misi Selangor julang Piala MFL
BACA LAGI: Bukan setakat pemain, 3 coach termasuk Hai-O juga nikmati 'manfaat' Piala MFL bubar
Skuad muda Gergasi Merah berada satu mata di belakang JDT II. — Facebook/MFL
Kekalahan 3-4 dialami skuad muda Gergasi Merah itu menyaksikan mereka kini berada di tangga kedua Piala MFL dengan kemenangan diperlukan bagi aksi penutup berdepan Kedah Darul Aman (KDA) FC B.
Tidak cukup dengan itu, Selangor FC II juga perlu mengharapkan pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim (JDT) II untuk mencicirkan mata ketika aksi menentang Penang FC II.
Namun, bagi penyokong Merah Kuning, mereka meningatkan pengendali pasukan, Abdi Hassan supaya tidak menurunkan pemain senior kerana keutamaan perlu diberikan kepada 'ubi muda' pasukan.
"Teruskan guna pemain muda, biarlah JDT II mahu juara. Berilah pendedahan secukupnya kepada mana-mana pemain muda yang menyerlah, nanti boleh dinaikkan ke skuad utama. Pemain muda yang sudah lama berada dalam pasukan utama tanpa peningkatan boleh disingkirkan," kata Otai Sfc.
Skuad muda Gergasi Merah tewas dalam aksi terakhir menentang KL City Extension. — Facebook/Selangor FC
"Pada saya, teruslah beri peluang kepada pemain muda. Tidak perlu turunkan pemain senior terlalu ramai. Piala MFL ini dibangunkan pun dengan hasrat memberi pendedahan," kata Zamri Kamal.
"Ini adalah aksi penentuan. Kita perlu terus memberi pendedahan kepada mana-mana 'ubi muda' yang bagus. Selepas itu, bolehlah dibawa ke dalam skuad utama," kata Zaki Hassan.
Dalam saingan Piala MFL musim ini, Selangor FC II beberapa kali menurunkan pemain senior seperti Alex Agyarkwa, Azim Al-Amin serta beberapa nama lagi bagi memberikan minit permainan.
Tetapi, tumpuan masih diterima 'ubi muda' seperti Haykal Danish dan Abdul Rahmad Daud yang rata-rata penyokong beranggapan sudah bersedia untuk beraksi dalam Liga Super musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram