
KEJAYAAN Sri Pahang FC melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia tidak disusuli dengan kemeriahan penyokong yang dahulunya ternanti-nanti bilakah pasukan tersebut akan berentap di pentas final.
Ini kerana skuad Tok Gajah berdepan Johor Darul Ta'zim dalam aksi tersebut dengan ia boleh dikatakan satu misi mustahil buat anak-anak buah Fandi Ahmad yang serba kekurangan ketika ini.
Tidak terhenti di situ, kesungguhan penyokong kelab Pantai Timur berkenaan juga kurang dirasakan kerana prestasi semasa mereka yang tidak menentu dalam Liga Super dengan mereka kini menduduki tangga kesembilan.
BACA LAGI: Enggan berputih mata, Pahang hantar rayuan tarik penggantungan Kpah Sherman
BACA LAGI: CEO Sri Pahang setuju tarikh final ditukar, boleh buat persiapan lebih rapi bersama JDT
Suffian menyatakan kerisauan mengenai penjualan tiket Piala Malaysia yang tidak mendapat sambutan. — Facebook/Sri Pahang FC
Jadi, tidak hairanlah apabila setakat ini, jualan tiket bagi pertembungan tersebut amat mengecewakan seperti mana dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Suffian Awang.
Dalam laporan terbaru, dia menasihati peminat supaya tidak menunggu sehingga minit-minit akhir untuk mendapatkan tiket diperuntukkan bagi aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu nanti.
Bagaimanapun, bagi penyokong Tok Gajah, mereka beranggapan situasi itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana masing-masing sudah dapat meramal pasukan manakah yang akan membawa pulang trofi Piala Malaysia.
Jangkaan awal itu membuatkan rata-rata peminat enggan hadir ke venue perlawanan untuk menyaksikan pertembungan tersebut, sekali gus melenyapkan kemeriahan yang pernah dirasai satu ketika dahulu.
"Tak perlu nak buat-buat terkejut, kena terima hakikat Liga Malaysia tidak menarik. Keterujaan dan kehangatan semakin berkurangan dengan kestabilan liga itu sendiri menjadi punca.
Penyokong Tok Gajah enggan berkorban masa dan tenaga untuk menyaksikan kekalahan di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Facebook/Sri Pahang FC
"Mutu Liga Malaysia sendiri sudah cukup untuk dijadikan jawapan. Jika diberikan tiket percuma sekali pun, tidak tentu penyokong akan hadir. Terimalah hakikat tersebut," kata Amin Ghani.
"Ini kerana masing-masing dah tahu siapa akan muncul juara. Perasaan untuk ke final itu sudah lesap, pergi sebagai tanda sokongan boleh lah. Ramai mahu ke final dengan rasa berdebar, bukan kosong," kata Moh D Khalil.
"Ramai dah bosan dengan budaya bola sepak tempatan. Sebenarnya, bola sepak adalah satu bentuk industri menguntungkan, kesukanan dan hiburan tetapi sudah dinodai anasir luar yang dipengaruhi liga Eropah dan luar negara," kata Kube Lana.
Sejak beberapa musim kebelakangan ini, sokongan ramai terhadap sukan tersebut sudah semakin merosot apabila jumlah kehadiran ke stadium bagi aksi Liga Super semakin berkurangan.
Keadaan tersebut diburukkan lagi dengan pelbagai masalah timbul seperti kemelut kewangan serta jadual tidak teratur yang kemudian menyebabkan minat rata-rata penyokong mula pudar.
Sekiranya pertembungan akhir Piala Malaysia gagal meraih tumpuan, ini akan menandakan episod baharu dalam kemerosotan arena bola sepak tempatan kerana ia sepatutnya menjadi titik tumpuan bagi sesebuah musim. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram