Wan Rohaimi jinakkan 'ex-boss' bayangi 3 kontroversi panas di Stadium Bandaraya


  • Podium
  • Ahad, 13 Apr 2025

Aksi hangat di Stadium Bandaraya berakhir dengan kemenangan tipis 1-0 buat tuan rumah. — Facebook/MFL

GOL tunggal daripada Alif Ikmalrizal pada minit ke-27 permainan sudah cukup untuk memastikan Penang FC meraih tiga mata penuh daripada Kuala Lumpur (KL) City FC dalam pertembungan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Ahad.

Penyerang muda itu bijak memanfaatkan hantaran lintang daripada Adib Raop sebelum berjaya menewaskan Azri Ghani meskipun dikawal ketat Giancarlo Gallifuoco dan Adrijen Rudovic dalam kotak penalti.

Bagaimanapun, kehangatan perlawanan tersebut tidak hanya terhenti di situ kerana sepanjang 90 minit permainan, pelbagai insiden hangat dapat disaksikan penonton.

BACA LAGI: Sumber dedah Penang pernah lamar Cheng Hoe sebelum kehadiran Wan Rohaimi

BACA LAGI: Misi 6 mata penting, Wan Rohaimi optimis Penang tamatkan saingan Liga Super di tangga ke-7

Jaringan Alif Ikmalrizal membezakan kedua-dua pasukan di Stadium Bandaraya. — Facebook/MFL

Kehangatan dapat dirasakan beberapa minit sebelum tamat babak pertama apabila pemain kedua-dua pasukan bertelagah disebabkan keengganan KL City FC untuk menghentikan permainan ketika pemain lawan mengalami kecederaan.

Situasi itu berlaku ketika pemain Penang FC dikesan terbaring, namun skuad Harimau Kumbang yang ketika itu mengawal penguasaan meneruskan aksi sebelum bola dicuri pasukan pelawat.

Namun, secara tiba-tiba, anak-anak buah Wan Rohaimi Wan Ismail meminta pihak lawan menghentikan permainan bagi memberi ruang pihak perubatan memberi bantuan, namun keengganan mereka disusuli pertelingkahan kedua-dua pasukan.

Bersambung babak kedua, satu lagi insiden menarik dapat disaksikan apabila penjaga garisan bertindak membatalkan jaringan skuad Warga Kota selepas penjaring, Patrick Reichelt dikesan berada dalam kedudukan ofsaid.

Meskipun tidak mencetuskan sebarang momen hangat, keputusan pengadil menyaksikan KL City FC terlepas peluang mengikat kedudukan dengan pasukan Lembah Klang itu akur dengan pendirian tersebut.

Rudovic dikesan menyiku muka Akid Zamri sehingga berlaku pendarahan kecil.

Tidak terhenti di situ, sebuah lagi insiden hangat dapat disaksikan beberapa minit sebelum wisel ditiup apabila Rudovic dikesan melakukan kekasaran ke atas Akid Zamri.

Berdasarkan ulang tayang perlahan, bek tengah Warga Kota itu dikesan menyiku muka pemain muda Penang FC tersebut sehingga menyebabkan pendarahan kecil di mulut.

Insiden itu menerima respons daripada pengadil yang kemudian melakukan semakan menggunakan video bantuan pengadil (VAR) sebelum memberi kad merah terhadap pemain pertahanan tersebut.

Kedudukan 1-0 berpihak kepada skuad Harimau Kumbang kekal sehingga wisel penamat ditiupkan dengan ia menandakan kemenangan membanggakan Wan Rohaimi bersama pasukannya.

Malah, ini juga menyaksikan dia berjaya menundukkan bekas majikannya kerana sebelum menjadi pengendali Penang FC, dia terlebih dahulu menimba pengalaman sebagai ketua jurulatih KL City FC.

Kemenangan di laman sendiri itu meletakkan kedua-dua pasukan kekal di kedudukan masing-masing, namun skuad Harimau Kumbang pasti berpuas hati kerana mereka berpeluang menembusi kelompok 10 teratas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram