Kekalkan bakat tempatan, TFC cuma perlu rombak barisan import musim depan


  • Podium
  • Isnin, 07 Apr 2025

Ivan Mamut (kiri) dan Nelson Bonilla (kanan) antara yang berpotensi disingkirkan oleh Terengganu musim depan.

MUSIM yang suram buat Terengganu FC dalam Liga Super apabila impian mencapai kedudukan tiga terbaik hampir pasti musnah berbaki dua perlawanan.

Selepas tumpas kepada Selangor FC pada Sabtu, ia semakin pasti menutup peluang Terengganu meraih tempat ketiga dengan Sabah FC dan Kuching City FC mempunyai peluang lebih besar memperoleh posisi tersebut.

Skuad sedia ada mempunyai jangkaan untuk tampil garang sepanjang musim. Namun persembahan longlai dalam liga, serta piala domestik serta tugasan Asia Tenggara jelas mengecewakan penyokong.

BACA LAGI: [VIDEO] Hanya berlatih di lot parkir, persiapan Terengganu berdepan Selangor terganggu

BACA LAGI: Aura Stadium MBPJ tak gentarkan Terengganu, Badrul Afzan optimis jinakkan Gergasi Merah

Ismaheel Akinade (kiri) antara yang sering menerima kritikan daripada penyokong.

Dengan musim kini sudah dianggap berakhir buat Terengganu, apa yang mereka boleh lakukan adalah fokus kepada persediaan musim depan dengan misi memperoleh kedudukan lebih baik.

Bagi legenda Terengganu, Che Ku Marzuki Che Ku Mohd Noor, apa yang Terengganu harus lakukan adalah mendapatkan pemain import baharu yang lebih tajam dan berkualiti.

Baginya, untuk melakukan rombakan besar-besaran yang turut melibatkan pemain tempatan pastinya sukar kerana ia melibatkan kos tinggi. Oleh itu, perubahan kecil dengan menggantikan pemain import yang tidak berfungsi dengan baik adalah salah satu caranya.

"Pada saya, Terengganu perlu menggantikan pemain import yang akan tamat kontrak dengan kelab musim ini. Tidak perlu sambung kontrak mereka dan gugurkan saja.

"Kalau dilihat kepada prestasi, semuanya perlu diganti. Pada saya, sekurang-kurangnya empat pemain import perlu digugurkan," kata Che Ku Marzuki kepada Majoriti.

Tanpa menyebut sebarang nama, Che Ku Marzuki berasakan itulah yang Terengganu perlu lakukan bagi menguatkan lagi skuad pada musim depan.

Dalam masa yang sama, Che Ku Marzuki berasakan Terengganu patut kekalkan Badrul Afzan untuk mengendalikan Terengganu.

"Untuk buat rombakan, kelab memerlukan kewangan yang besar bagi mendapatkan jurulatih dan pemain yang terbaik. Buat masa sekarang, Terengganu hanya bergantung kepada kerajaan negeri dan rombakan besar-besaran sedikit sukar untuk dilakukan.

"Untuk itu, Terengganu boleh terus kekalkan pemain tempatan kerana yang sedia ada semuanya sudah sedia bagus, cuma tukar pemain import. Untuk pertukaran jurulatih juga saya tak rasa perlu dilakukan," jelas Che Ku Marzuki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram