
PEMILIK Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sekali lagi membuat teguran terbuka menerusi akaun media sosial peribadinya berhubung arena bola sepak tempatan tanpa menyatakan pihak yang diajukan.
Dalam hantaran menerusi Instastory, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (MFL) berkenaan menyatakan nasihat diberikannya satu ketika dahulu pernah diabaikan kerana lebih percaya dengan kata-kata dan pandangan penyokong yang kurang arif mengenai landskap sukan tempatan itu.
"Apa sahaja saya cakap yang diperlekehkan semua jadi kenyataan. Dulu semasa gaji stabil, menang piala, tempat latihan bagus dan main kejohanan antarabangsa, cari 'penyakit' dengar cakap penyokong.
BACA LAGI: TMJ lawat PSG Campus, padang latihan baharu dan 'loan' pemain Les Parisiens moga jadi kenyataan
BACA LAGI: TMJ tahu hasrat saya untuk mewakili negara — Armin
Tunku Ismail mengeluarkan kenyataan yang seperti nasihat kepada salah seorang pemain JDT.
"Yang menasihati tiada dalam industri bola sepak, tetapi bersuara seperti seolah-olah lebih tahu dan berpengalaman. Kononnya dinasihat untuk keluar dari JDT untuk dapat lebih minit permainan. Last-last, gaji tak dapat, tempat latihan tak seberapa, main pun jarang, piala tiada," tulisnya.
Meskipun tidak mengajukan kenyataan itu kepada mana-mana pemain, ramai mula berteka-teki dengan penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad merupakan individu dimaksudkan.
Ini kerana pemain kebangsaan tersebut pernah meninggalkan JDT sebanyak dua kali secara pinjaman, namun kedua-dua perpindahan itu dicemari isu tunggakan gaji serius sehingga mendesaknya pulang ke Selatan tanah air.
Bagaimanapun, ia hanya tanggapan orang ramai dengan terdapat kemungkinan pesanan itu diajukan kepada bekas pemain skuad Harimau Selatan yang pernah mencari angin baharu kerana desakan penyokong.
Tunku Ismail sememangnya arif mengenai arena bola sepak selepas terlibat sejak berbelas tahun lalu.
Nasihat diberikan Tunku Ismail tidak terhenti di situ kerana teguran turut disalurkan terhadap sesetengah bintang yang memilih untuk berkelana ke luar negara, namun langkah tersebut hanya merugikan.
"Yang dinasihat ke luar negara pula hanya sekadar dapat pengalaman, gaji tak seberapa dan persembahan pun rosak dan tidak seberapa. Apabila bersara, terpaksa kais sana sini.
"Seorang demi seorang jadi mangsa kerana dengar cakap orang. Kalau nak pinjam pun, biarlah kelab bantu gaji tiada isu, bukan buat sendiri semata-mata dengar cakap orang. Sekarang, bila dah susah, mana muka-muka yang menasihati semua?" tulisnya lagi.
Ini bukanlah kali pertama Tunku Ismail lantang bersuara memberi teguran kerana sebelum ini, teguran sama juga pernah diberikan terhadap bekas tonggak Harimau Selatan seperti Safawi Rasid dan Akhyar Rashid.
Bagaimanapun, hari demi hari, setiap peringatan diberikan akhirnya membuahkan kebenaran, sekali gus membuktikan pemahaman mendalam pemilik JDT tersebut dalam arena bola sepak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram