
PEMANGKU Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dijemput sebagai tetamu khas Presiden Paris Saint-Germain FC (PSG), Nasser Al-Khelaifi untuk melawat pusat latihan serba canggih kelab itu di Paris, Perancis pada Selasa.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, Johor Southern Tigers pada Rabu, beliau juga akan menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) antara PSG menentang Aston Villa di Parc des Princes malam ini.
"PSG Campus yang dibina pada 2024 adalah antara kemudahan latihan bola sepak elit paling moden di dunia. Ia berfungsi sebagai pusat latihan setempat untuk pasukan bola sepak dan bola baling PSG, termasuk akademi mereka," memetik hantaran itu.
BACA LAGI: [VIDEO] Mahu bawa masuk import lebih muda, ex PSG boleh penuhi hajat JDT
BACA LAGI: 'Dalam perancangan', TMJ dedah JDT mungkin bertemu PSG dalam aksi persahabatan
Turut hadir mengiringi Tunku Mahkota Ismail adalah penasihat khas beliau, Tim Cahill; Duta Sukan Johor, Sonny Bill Williams; Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Luis Garcia serta Pengarah Sukan JDT, Kiko Insa.
Perkongsian lawatan Tunku Ismail ke kelab gergasi Ligue 1 itu menanam hasrat baru buat penyokong Harimau Selatan, yang berharap agar JDT mendapat insipirasi untuk membuat padang latihan baharu serba canggih daripada yang terkini.
Selain aspek fasiliti, tidak kurang juga ada sebahagian pengikut Harimau Selatan menyuarakan impian mereka untuk menyaksikan salah seorang pemain skuad Les Parisiens menyarung jersi JDT secara pinjaman.
"Pusat latihan baharu untuk JDT dalam perjalanan," kata penyokong Harimau Selatan, Falihin_ali.
"Boleh sudah ini ambil inspirasi sedikir untuk TMJ menambah baik pusat latihan JDT," komen penyokong Harimau Selatan, Syendowcrew.
"Loan pemain PSG seorang Tunku," hasrat yang disuarakan oleh penyokong JDT, _Khairul.azhar.
Untuk info, ini bukan pertama kali Tunku Ismail menjadi tetamu khas Al-Khelaifi susulan sebelum ini beliau juga dijemput untuk menyaksikan sesi latihan PSG di Stadium 974, Doha, Qatar pada Januari lepas.
Perjumpaan antara kedua-dua pemilik kelab itu turut menghadiahkan satu berita baik buat penyokong JDT apabila Tunku Ismail sendiri tidak menolak kemungkinan terdapat perlawanan persahabatan antara JDT dan PSG.
Tunku Ismail (tengah) ketika dijemput menonton sesi latihan PSG pada Januari lepas. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Aksi persahabatan antara JDT dengan kelab-kelab terkenal bukanlah sesuatu yang baharu kerana sebelum ini, mereka pernah bertemu pasukan Jerman, Borussia Dortmund dan Zenit St Petersburg dari Russia.
Meskipun perlawanan itu berakhir dengan kekalahan buat skuad Harimau Selatan, pengalaman diperolehi, lebih-lebih lagi buat pemain tempatan mampu menjadikan mereka lebih matang di atas padang.
Hubungan baik antara JDT dengan PSG pasti akan melonjakkan lagi reputasi kelab itu, termasuk dari segi komersial dalam usaha mereka menarik lebih banyak pelaburan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram