
BARU-BARU ini, Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan bahawa pihaknya menyalurkan RM200,000 sebulan untuk menanggung hutang tertunggak kelab Kedah Darul Aman (KDA) FC sejak 2020.
Menurutnya, langkah tersebut diambil bagi mengelakkan kelab bersejarah itu kehilangan lesen MFL.
Sanusi terpanggil untuk mendedahkan perkara tersebut selepas terdengar suara-suara sumbang yang mendakwa KFA seolah-olah lepas tangan terhadap masalah yang dihadapi oleh KDA FC.
BACA LAGI: Kita tanggung RM200,000 sebulan supaya KDA FC dapat lesen MFL, tak bising pun — Sanusi
Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.
Enggan dianggap demikian, Sanusi tampil menjelaskan bahawa pihaknya ketika ini sebenarnya masih berusaha membantu melangsaikan baki hutang lama kelab tersebut.
Sanusi turut menjelaskan bahawa baki hutang tersebut merupakan sebahagian daripada hutang RM30 juta yang ditinggalkan oleh pengurusan terdahulu, termasuk tuntutan RM1.9 juta dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berkaitan pemain import terdahulu seperti Liridon Krasniqi.
Mengulas lanjut, pemerhati sukan tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim, berpendapat kebergantungan KDA FC terhadap kerajaan negeri mencerminkan kekurangan profesionalisme dalam kelab tersebut.
"Pendapat saya, kebergantungan KDA FC terhadap kerajaan negeri membuktikan bahawa mereka belum berjaya menjadi kelab yang benar-benar profesional," katanya kepada Majoriti.
Presiden KFA, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor. — Facebook
Menurut Zulakbal, penswastaan yang dilaksanakan sebenarnya tidak memberi sebarang impak positif terhadap perkembangan semasa KDA FC.
KDA FC sebelum ini berdepan kemelut kewangan yang meruncing hingga pemain dan pegawai pasukan itu menghadapi tunggakan gaji hampir setahun.
Lebih menyedihkan, kelab bersejarah itu kini berada di tangga ke-11 Liga Super selepas hanya meraih enam kemenangan daripada 21 perlawanan liga setakat ini.
"Penswastaan yang dilaksanakan ketika ini masih belum lagi memberikan impak positif kerana Kedah tidak berupaya membayar gaji pemain sekali pun," jelasnya.
Zulakbal turut mendedahkan terdapat faktor utama mengapa penswastaan pasukan Kedah dianggap gagal memenuhi harapan untuk mencapai tahap profesional yang lebih tinggi.
Sambil berharap, Zulakbal menyeru agar pihak pengurusan Sang Kenari mencari alternatif terbaik bagi memastikan kelab bola sepak Kedah terus berkembang tanpa bergantung kepada dana kerajaan negeri.
"Pendapat saya, salah satu faktor adalah pemilik kelab dan pihak pengurusan tidak berupaya menjana pendapatan atau membawa masuk pelaburan baru untuk merancakkan perniagaan bola sepak KDA FC.
"Mereka perlu menyusun semula struktur perniagaan dan pelaburan KDA FC, serta melantik pakar ekonomi, perniagaan, pelaburan, penajaan dan publisiti yang benar-benar profesional untuk membantu kelab," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram