
TONGGAK tengah kebangsaan, Brendan Gan memang diakui antara pemain disegani dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), lagi-lagi siapa yang mengikuti perjuangannya melawan kanser dan kembali bermain bola sepak.
Sebagai pemain yang sudah lama beraksi dalam saingan Liga M dengan menyertai beberapa kelab domestik seperti Sabah, Kelantan FC, Perak FC, Selangor FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC, pasti ramai tertanya-tanya mengenai pengalamannya atas padang.
Pemain berusia 36 tahun yang sudah berdepan dengan pelbagai pemain, baik tempatan mahupun bintang import tetapi Brendan nyata memilih Arif Aiman Hanapi sebagai lawan paling sukar pernah dihadapinya.
BACA LAGI: Jelajah trofi Piala Shopee: Peluang temui Safawi, Brendan Gan di Cheras
Menerusi satu klip video dimuat naik oleh Sportie Malaysia pada laman TikTok, pemain skuad kebangsaan itu melabel Pemain Paling Bernilai (MVP) Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) dari 2021 hingga 2023 itu sebagai pemain yang hebat.
"Arif Aiman memang hebat. Anda tidak tahu ke mana dia akan pergi, anda tidak tahu bila dia akan membuat rembatan. Anda tidak tahu bila dia akan memotong masuk," katanya ketika menceritakan pengalamannya menghadapi Arif Aiman.
Penyerang sayap itu bukan hanya megah dalam saingan domestik, tetapi juga menyinar dalam kejohanan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite dianggap sebagai antara prospek terbaik sekitar Asia.
Arif Aiman menjadi tonggak utama JDT untuk beberapa musim kebelakangan ini. — Facebook/JDT
Arif Aiman yang meledak lima gol dalam 10 penampilan berjaya meletakkan diri sebaris dengan nama-nama besar seperti Cristiano Ronaldo dan Riyad Mahrez meskipun gagal membawa pasukannya mara lebih jauh.
Selain membahaskan mengenai kehebatan pemain berusia 22 tahun berkenaan, Brendan juga sempat berkongsi mengenai impiannya untuk mengendalikan Selangor FC pada suatu hari nanti.
"Saya memasang impian untuk mengendalikan West Ham United sebab saya membesar di sana. Jika bercakap mengenai kelab tempatan, saya mungkin mahu mengendalikan Selangor," tambahnya dalam klip berkenaan.
Gergasi Merah antara kelab yang paling dekat dengan Brendan susulan dia merupakan watak utama untuk bahagian tengah Selangor selama empat tahun, sejak menyertainya pada awal musim 2020.
Sepanjang khidmatnya bersama Selangor FC, pemain berusia 35 tahun itu telah membuat sebanyak 80 penampilan dengan 75 daripadanya beliau diturunkan dalam kesebelasan utama dan menjadi ketua pasukan hampir dalam kesemua perlawanan bersama mereka.
Pemain kacukan Malaysia-Australia itu juga telah menyumbang 14 jaringan serta 12 bantuan gol bersama Selangor sebelum ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram