
KESILAPAN mudah oleh para pemain Manchester United telah dihukum dengan kekalahan besar di tangan Newcastle United dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Ahad.
Dalam aksi yang berlangsung di St James Park, England itu menyaksikan The Red Devils terpaksa menelan pahit apabila tewas 1-4 kepada Newcastle United.
Menariknya aksi itu, pengurus United, Ruben Amorim menaruh harapan kepada penjaga gol kelahiran Turki, Altay Bayindir untuk menggantikan Andre Onana yang direhatkan.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT tak kebal mana, Kedah antara 4 pasukan tambat seri Harimau Selatan
BACA LAGI: Lepas sah kekalkan Salah, Liverpool kian bernafsu sambar bintang Perancis ganti Nunez
Namun, Bayindir gagal menampilkan prestasi lebih baik, dengan melakukan kesilapan mudah serupa seperti yang sering dipamerkan oleh Onana.
Lebih mengecewakan lagi, kesilapan Bayindir pada penghujung perlawanan menyaksikan Newcastle mudah mencetak gol keempat dalam memastikan Man United terus menderita.
Dalam insiden tersebut, Bayindir melakukan hantaran pendek dari kotak penalti yang mudah dipintas oleh Joelinton, yang kemudiannya menanduk bola kepada Bruno Guimaraes.
Guimaraes dengan tenang melepaskan rembatan deras menewaskan Bayindir pada minit ke-77, menambah lagi penderitaan penjaga gol United itu.
Susulan kekalahan memalukan tersebut, bekas kapten Manchester United, Roy Keane mengkritik Bayindir menyatakan bahawa kesilapan itu mencerminkan kekurangan kewarasan dan profesionalisme di peringkat tertinggi.
"Saya biasanya cepat untuk mempertahankan penjaga gol apabila mereka baru masuk ke dalam pasukan kerana saya faham, ia memang memerlukan lima, enam, tujuh perlawanan untuk benar-benar menyesuaikan diri dengan kelajuan permainan. Tetapi kesilapan asas seperti ini, saya tak faham.
“Ini tahap profesional. Anda berada di Newcastle, pasukan itu sedang hebat, anda buat kerja rumah tentang siapa yang mereka mainkan dan bila mereka melakukan tekanan terhadap anda.
"Jika anda mahu hantaran panjang, pastikan ia benar-benar panjang, supaya ia sekurang-kurangnya berada lebih jauh ke depan.
“Tetapi jika anda kehilangan bola di situ, seseorang akan berdepan dengan gol di hadapan anda. Itu hanya kewarasan asas," katanya.
Keane juga menegaskan, meskipun Bayindir baru diberi peluang memulakan perlawanan, dia seharusnya lebih berhati-hati dan bijak dalam membuat keputusan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram