
AKSI persahabatan antara All Star Kedah menentang All Star Malaysia anjuran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bersama Malaysia Football Museum yang dijadualkan pada 11 April di Alor Setar, Kedah terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu yang akan ditetapkan.
Hal ini kerana, bintang jemputan khas bertaraf dunia dari Portugal Ricardo Quaresma dimaklumkan tidak dapat hadir di sebabkan faktor kecemasan dan kesihatan ahli keluarganya ketika ini.
Selain itu, Quaresma yang dijadualkan membuat penampilan khas dalam perlawanan tersebut turut tampil dengan rakaman video permohonan maaf kepada semua peminat serta penyokong yang menantikan kehadirannya.
BACA LAGI: [VIDEO] Apa sudah jadi? Kedah tangguh aksi persahabatan All Star, Ricardo Quaresma mohon maaf
BACA LAGI: Bawa Quaresma ke Alor Setar, Kedah di landasan tepat usaha pulih kewangan — Ramon Marcote
Walaupun bekas pemain Chelsea itu sudah memuat naik video permohonan maaf, penyokong bagaimanapun masih menyuarakan kebimbangan mereka jika pihak pengurusan KDA FC tidak menerbangkan Quaresma ke Kedah.
Menepis semua dakwaan itu, Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan KDA FC, Mohamad Faidhi Mohd Rohdzi memberitahu bahawa perlawanan persahabatan itu tetap akan berlangsung pada tarikh yang baharu setelah persetujuan bersama semua pihak yang terlibat.
Mohamad Faidhi berkata, perlawanan persahabatan itu dibuat juga khusus untuk menyambut kedatangan Quaresma ke bumi Kedah, selain beberapa aktiviti lain turut dirangka khas untuknya.
"Sebenarnya, untuk game All-Star match ini terjadi sempena kehadiran Ricardo di bumi Kedah. Apabila dia dah setuju untuk datang, kita berkolaborasi bersama pihak Muzium Bola Sepak Malaysia untuk anjurkan aksi persahabatan. Alang-alang dia datang, kita buat juga beberapa aktiviti lain lah untuk penuhkan jadual.
"Kalau tidak buat, jadi kosong dan tidak ada aktiviti kan. Bila dia beritahu dua hari lepas yang ahli keluarga dia masuk wad. Jadi, dia terpaksa jaga dan beritahu akan bagi next date untuk datang ke kedah.
"Kami menghormati keputusan Quaresma untuk mohon tunda game 11 hari bulan ni walaupun banyak komen kenapa tanpa Ricardo seorang nak kena postpone game. Ia adalah sebagai menghormati dan menunjukkan rasa empathy kepada musibah yang menimpa keluarga beliau pada ketika ini. Tiada istilah macam Kedah scam peminat.
"Quaresma sendiri yang bagi video penjelasan. Sebenarnya, dia dah beli sendiri tiket ke Kedah. Untuk tarikh yang dia cakap 22 haribulan itu pun tidak pasti lagi. Tunggu makluman rasmi seterusnya" katanya kepada Majoriti.
Terdahulu, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar melalui satu kenyataan perlawanan antara kedua pasukan anjuran Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bersama Malaysia Football Museum yang dijadualkan pada Jumaat ini di Alor Setar, Kedah terpaksa ditangguhkan ke suatu tarikh baharu.
"Pihak pengurusan Sang Kenari dan penganjur bersama merakamkan permohonan maaf kepada seluruh peminat bola sepak tanah air, khususnya kepada penyokong yang membeli tiket perlawanan.
"Dengan penuh rasa dukacita, pihak kami terpaksa menunda perlawanan ini ke satu tarikh baharu. Keputusan ini dibuat selepas menerima makluman bahawa tetamu jemputan khas, Ricardo Quaresma tidak dapat terbang ke Kedah pada 7 April 2025 seperti dijadualkan.
"Namun pihak penganjur masih meneliti kesesuaian tarikh tersebut memandangkan pasukan KDA FC bakal menghadapi perlawanan terakhir Liga Super menentang Terengganu FC dalam tempoh yang sama," katanya.
Mohd Daud juga memberitahu pihaknya akan memaklumkan tarikh rasmi baharu bagi aksi persahabatan berkenaan sebaik mendapat tarikh rasmi yang baharu selain status tiket percuma di atas pembelian tiket aksi perlawanan persahabatan itu dan hal berkaitan tempahan jersi edisi khas All Star. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram