
DUA kekalahan berturut-turut dalam Liga Super menyaksikan Terengganu FC terlepas peluang untuk menamatkan kempen dalam kelompok tiga teratas, sekali gus kempunan untuk layak ke Piala Shopee musim depan.
Ini selepas pasukan Pantai Timur tersebut ditundukkan PDRM FC dalam pertembungan di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu dengan penyokong berasa kurang senang akan ketumpulan jentera serangan.
Keputusan itu menyaksikan mereka kekal di tangga kelima, dibezakan lapan mata dengan Sabah FC yang semakin yakin ke pertandingan anjuran Piala AFF itu meskipun hanya meraih keputusan seri kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC.
BACA LAGI: Aura Stadium MBPJ tak gentarkan Terengganu, Badrul Afzan optimis jinakkan Gergasi Merah
BACA LAGI: Demi kemenangan baki 2 aksi, legenda Peteh beri pesanan buat Badrul Afzan
Satu lagi kekalahan dialami skuad Sang Penyu selepas mereka ditundukkan PDRM FC. — Facebook/Terengganu FC
Kegagalan meraih tiket ke Piala Shopee tersebut pasti menjadi isyarat buat pihak pengurusan Terengganu FC untuk melakukan rombakan sebelum saingan Liga Malaysia musim depan.
Tumpuan penuh pasti diberikan terhadap pertukaran barisan kejurulatihan kerana pengendali terkini, Badrul Afzan Razali hanya dilantik bagi menggantikan Tomislav Steinbruckner.
Meskipun pernah menimba pengalaman sebagai pembantu, Badrul kelihatan belum cukup bersedia, baik dari segi pemilihan kesebelasan utama selain taktikal yang diterapkan dalam satu-satu perlawanan.
Jadi, sekiranya skuad Sang Penyu mahu melakukan perubahan, terdapat tiga calon boleh diketengahkan dengan kesemua daripadanya masih dalam kategori muda, namun pernah menimba ilmu dalam Liga Super.
1. Azzmi Aziz
Meskipun usianya sudah menjangkau 50-an, Azzmi Aziz masih boleh dikategorikan sebagai jurulatih muda melihat kepada penampilan serta taktikal permainan pernah diterapkan sepanjang kariernya.
Pengalamannya dalam bidang itu juga tidak mengecewakan kerana sepanjang bertahun-tahun berkhidmat sebagai pengendali, dia pernah membuktikan kebolehan sebenarnya.
Selepas memulakan karier kejurulatihan bersama Kedah sebagai pengendali interim, dia kemudiannya mengendalikan skuad muda Negeri Sembilan FC selama dua tahun bermula 2020.
Azzmi tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir mengendalikan skuad Jang. — Facebook/Negeri Sembilan FC
Namun, reputasinya mula berkembang apabila dia membimbing PDRM FC kerana bersama skuad Sang Saka Biru, Azzmi berjaya mencipta beberapa keputusan mengejut seperti menundukkan KDA FC dan Selangor FC musim lalu.
Bagaimanapun, tidak semena-mena, badan pengurusan kelab tersebut secara tiba-tiba menggugurkannya pada pertengahan musim sebelum dia mengambil keputusan kembali ke pangkuan Negeri Sembilan FC.
Meskipun tempoh dihabiskan bersama skuad Jang tidak begitu baik, Azzmi masih boleh dikategorikan sebagai pengendali berpotensi yang perlu diperhatikan Terengganu FC sekiranya mahu menggantikan Badrul Afzan.
2. Nidzam Jamil
Seperti Azzmi Aziz, keputusan pihak pengurusan untuk menggugurkan Nidzam Jamil pada pertengahan musim turut menimbulkan persoalan kerana ketika itu, dia berjaya membawa kestabilan buat Selangor FC.
Walaupun ditewaskan dengan memalukan oleh Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam perlawanan akhir Piala FA, jurulatih muda itu masih membawa pelbagai impak baik buat pasukannya.
Selain meraih rekod memberangsangkan, pengendali berusia 44 tahun itu tidak pernah putus memberi kepercayaan kepada pemain muda seperti Zikri Khalili, Mukhairi Ajmal serta Harith Haiqal.
Keputusan Selangor FC menggugurkan Nidzam Jamil masih dipersoalkan. — Facebook/MFL
Pendekatan sedemikian amat sesuai dengan Terengganu FC yang kerap menghasilkan 'ubi muda' saban musim sehingga masing-masing dapat bersaing dengan import untuk tempat dalam kesebelasan utama.
Jadi, Nidzam perlu diletakkan dalam senarai pendek kelab Pantai Timur itu menggantikan Badrul Afzan dengan pengalamannya dalam Liga Super bersama Selangor FC dan Felda United membuktikan kebolehannya.
Bagaimanapun, skuad Sang Penyu perlu segera merisik jurulatih kelahiran Kajang, Selangor itu kerana Negeri Sembilan FC dilaporkan bersedia mendapatkan khidmatnya musim depan.
3. Akmal Rizal Ahmad Rakhli
Kira-kira tiga musim kebelakangan ini, skuad Harimau Kumbang sudah beberapa kali melakukan penggiliran barisan kejurulatihan, namun kesemua daripadanya tidak membuahkan hasil terbaik.
Ini termasuk Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang dilantik pada penghujung musim 2023 untuk menggantikan Manzoor Abdul Wahid dengan tempoh awalnya bersama kelab tersebut membawa sinar harapan.
Kejayaan awal itu boleh diraih kerana sebelum mengendalikan skuad senior, dia pernah menimba pengalaman bersama pasukan muda seperti skuad Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang dan B-23 mereka.
Akmal Rizal masih boleh menjadi pengendali berkaliber melihat kepada potensinya. — Facebook/Penang FC
Namun, musim ini, tekanan besar dirasakan jurulatih berusia 43 tahun berkenaan apabila daripada 17 perlawanan dalam semua kejohanan, Penang FC hanya meraih dua kemenangan.
Prestasi mengecewakan itu menyaksikan dia digugurkan pihak pengurusan dan kemudiannya digantikan Wan Rohaimi Wan Ismail, sekali gus membuatkan Akmal Rizal tidak bertugas buat mana-mana pasukan sehingga hari ini.
Meskipun rekodnya tidaklah begitu baik, Akmal Rizal masih boleh menjadi pengganti sesuai kepada Badrul Afzan musim depan dengan harapan perubahan besar dapat disaksikan dalam skuad Sang Penyu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram