
PENJAGA gol Perak FC, Haziq Nadzli menzahirkan ucapan terima kasih buat Johor Darul Ta’zim (JDT) atas segala kenangan indah selama tujuh tahun bersama pasukan yang berpangkalan di Selatan tanah air itu.
Ucapan tersebut dikongsikan oleh Haziq menerusi hantaran di Instagram pada Khamis.
"Terima kasih JDT untuk tujuh tahun yang sangat berharga buat diri saya, terima kasih kerana membantu meningkatkan cara permainan saya.
“Banyak perkara baharu yang saya pelajari untuk diri dan prestasi saya," tulisnya.
BACA LAGI: [VIDEO] JDT belum puas, sambar bekas penyerang AC Milan
BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik kejuaraan kali ke-11, ada 3 kelab layak digelar 'paling degil' bertemu JDT di SSI
Haziq turut sempat mengucapkan penghargaan khas kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail atas segala jasa baginda dalam perkembangan kariernya sepanjang bersama kelab itu.
"Yang paling penting, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Mahkota Ismail yang banyak membantu dan menyokong saya dari segi prestasi dan juga mentaliti saya," katanya.
Dalam hantaran sama, Haziq sempat mendoakan kejayaan buat pasukan Harimau Selatan itu dalam menghadapi cabaran saingan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE).
“Semoga berjaya JDT untuk pusingan 16 terakhir ACLE, buat Malaysia bangga,” tulisnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram