
PENJAGA gol kebangsaan, Haziq Nadzli seolah-olah memberi bayangan sudah meninggalkan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas mencipta kenangan indah selama tujuh tahun bersama skuad Harimau Selatan.
Menerusi satu hantaran di Instagram, pemain yang dipinjamkan ke Perak FC pada awal musim 2024 itu memuat naik 10 keping foto ketika berlatih, beraksi dan memenangi trofi bersama JDT beserta ucapan terima kasih buat pihak kelab.
Selain itu, Haziq juga sempat menzahirkan penghargaan khas kepada pemilik kelab JDT, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di atas segala jasa beliau dalam perkembangan karier pemain berusia 27 tahun itu.
BACA LAGI: Lepas Black, artis kelahiran Kedah ada 'follower' 6 juta antara 3 potensi besar bergelar duta KDA FC
”Terima kasih JDT untuk tujuh tahun yang sangat berharga buat diri saya, terima kasih kerana membantu meningkatkan cara permainan saya. Banyak perkara baharu yang saya pelajari untuk diri dan prestasi saya.
“Yang paling penting, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tunku Ismail yang banyak membantu dan menyokong saya dari segi prestasi dan juga mentaliti saya. Semoga berjaya JDT untuk pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), buat Malaysia bangga,” tulis Haziq di akhir ucapan.
Walaupun belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada Perak mahupun JDT berhubung status Haziq, ramai penyokong tumpang gembira dengan keputusan Harimau Selatan yang sudi melepaskan penjaga gol itu ke pasukan lain.
Melihat kepada kebaikan JDT itu, kelab seperti Terengganu FC dan Selangor FC juga diharapkan akan membuat perkara sama untuk melepaskan bintang pinjaman mereka.
1) Richmond Ankrah
Ankrah (tengah) menjadi import kesayangan penyokong Penang. — Facebook/PenangFC
Pada Mac 2024, pertahanan muda Selangor FC iaitu Richmond Tetteh Ankrah telah dipinjamkan ke Penang FC untuk membantu memperkuatkan bahagian belakang Harimau Kumbang bagi saingan musim 2024/2025.
Ankrah sebelum ini lebih banyak beraksi bersama Selangor II dalam Piala MFL selepas sukar merebut kesebelasan utama pasukan yang dibarisi pemain import lebih senior seperti Safuwan Baharudin dan bekas bek Gergasi Merah, Yazan Al-Arab.
Keputusan untuk meminjamkan Ankrah kepada Penang dilihat sebagai situasi menang-menang buat kedua-dua kelab. Penang berjaya mendapatkan pertahanan muda berkualiti sementara Selangor boleh melihat perkembangannya bersama Harimau Kumbang.
Selepas 22 perlawanan domestik bersama skuad dari Utara tanah air itu, pemain kelahiran Ghana itu menjadi tonggak kesayangan penyokong dengan mereka berharap agar Gergasi Merah melepaskan pemain itu secara tetap.
2) Hakimi Abdullah
Hakimi Abdullah ketika mencetak gol untuk KDN FC. — Facebook/KDNFC
Selepas hampir empat tahun berkelana bersama Terengganu FC (TFC), Muhammad Hakimi Abdullah akhirnya kembali ke pangkuan negeri kelahirannya, Kelantan dengan menyertai skuad Kijang Emas secara pinjaman sehingga berakhir saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Penyerang sayap kiri berkenaan dipinjamkan ke Kelantan Darul Naim (KDN) FC untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan dan membantu pasukan tersebut dalam saingan Liga Super Malaysia.
Sejak menyertai skuad Kijang Emas, Hakimi Abdullah menjadi antara tonggak penting pasukan dengan dia dilihat berusaha mendapatkan kembali rentak permainannya dan menyumbang kepada prestasi keseluruhan KDN FC. Dia mencetak satu gol dalam aksi Liga Super musim ini.
Dengan keadaan KDN FC kini yang dihimpit dengan isu kewangan, kelab lain yang menghadapi masalah di bahagian serangan seperti Perak FC boleh menyambar khidmat Hakimi Abdullah secara tetap pada musim depan.
3) Hein Htet Aung
Htet Aung (kanan) ketika beraksi bersama skuad Jang. — Facebook/NSFC
Pemain kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung dipinjamkan oleh Selangor FC ke Negeri Sembilan FC (NSFC) pada 7 Mac 2024 untuk musim 2024/2025 selepas gagal bersaing untuk mendapatkan tempat dalam Gergasi Merah.
Sebelum ini, pemain berusia 23 tahun berkenaan menyertai pasukan Lembah Klang itu pada Januari 2021 dan membuat 43 penampilan dalam Liga Super bersama pasukan tersebut.
Sejak menyertai Negeri Sembilan FC, Htet Aung telah menjadi antara pemain utama dalam skuad dengan dia sudah membuat 22 penampilan dalam semua pertandingan, dengan jumlah masa bermain sebanyak 1,856 minit.
Dalam tempoh tersebut, pemain berketinggian 1.67 meter tersebut berjaya menjaringkan tiga gol dan mencatatkan dua bantuan jaringan dalam memastikan skuad Jang mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata.
Sumbangan pemain sayap itu sekurang-sekurangnya membantu Negeri Sembilan menghuni kedudukan ke-12 Liga Super dan pastinya khidmatnya mahu disambung secara tetap pada musim depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram