‘Tiada lagi kelibat’, fans Terengganu masih kempunan saksikan Ivan Mamut berdepan PDRM


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Ivan Mamut diketepikan sepanjang musim yang menyaksikan jentera serangan pasukan tumpul. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS mengalami kekalahan di tangan Selangor FC minggu lalu, Terengganu FC mahu bangkit untuk merekodkan kemenangan dalam aksi menentang PDRM FC di tempat lawan pada Sabtu.

Mereka yang kini menduduki tangga kelima Liga Super perlu meraih kemenangan di Stadium Selayang, Selangor untuk meraih peluang menembusi kelompok empat pasukan teratas.

Bagaimanapun, misi itu bukanlah mudah kerana skuad pelbagai kekurangan jelas kelihatan dalam skuad Sang Penyu ketika ini, lebih-lebih lagi dari segi ketumpulan barisan hadapan.

BACA LAGI: Bakal bimbing kelab Vietnam, fans Sang Penyu gusar Ivan Mamut mungkin ikut jejak Steinbruckner

BACA LAGI: Terlalu rindui sentuhan penyerang Croatia, fans tularkan semula video latihan Ivan Mamut sebelum hadapi Sabah

Bonilla bukanlah pengganti terbaik kepada Ivan Mamut yang beraksi cemerlang musim lalu.

Kehadiran Nelson Bonilla serta Ismaheel Akinade jelas tidak membawa hasil seperti mana diharapkan kerana masing-masing bergelut untuk mencetak gol meskipun kerap dihidangkan peluang oleh Akhyar Rashid atau Safawi Rasid.

Isu tersebut bukanlah sesuatu yang baharu kerana sejak awal musim, penyokong sudah menyedari ketumpulan jentera serangan pasukan dengan masing-masing merindui kelibat penjaring terbanyak musim lalu, Ivan Mamut.

Penyerang dari Croatia itu terlepas kempen 2024/25 akibat kecederaan yang dialami ketika pramusim dengan laporan awal mengatakan dia akan berehat untuk sekurang-kurangnya enam bulan.

Namun, sehingga hari ini, tiada sebarang berita diterima berhubung pemain tinggi lampai itu, termasuk menjelang perlawanan menentang PDRM FC kerana dia tidak berada di padang latihan.

Ivan Mamut berehat sepanjang musim akibat kecederaan dialami semasa pramusim 2024/25.

Ketiadaannya menjadi buah mulut penyokong Terengganu FC kerana masing-masing beranggapan jentera serangan akan bergelut untuk menembusi kubu skuad Sang Saka Biru.

"Mamut sampai ke penghujung liga ya nampaknya tidak dapat beraksi. Tak tahulah kalau pihak pengurusan masih mahu mengekalkannya selepas ini," kata Afiq Azhar.

"Adakah Mamut hanya akan boleh beraksi musim depan?" soal Fakhrul Aziz.

"Sampai ke sudah tidak nampak kelibat Mamut? Adakah masih cedera? Jika terus begini, lebih baik dapatkan penyerang lebih cergas dan sihat untuk musim depan," kata Zamri Amin.

Semasa bersama skuad Sang Penyu pada 2023, penyerang berusia 27 tahun terbabit mencatatkan 23 gol dan satu bantuan jaringan daripada 35 penampilan dengan satu gol dicatatkan dalam Piala AFC.

Catatan memberangsangkan itu membantu Terengganu FC mara ke pentas akhir Piala Malaysia, namun tidak berhasil menjuarai kejohanan tersebut selepas dikecewakan Johor Darul Ta'zim (JDT). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram