Demi kemenangan baki 2 aksi, legenda Peteh beri pesanan buat Badrul Afzan


  • Podium
  • Ahad, 06 Apr 2025

Import TFC, Manuel Ott, dikawal ketat oleh barisan pertahanan Gergasi Merah, menyukarkannya untuk melancarkan serangan ke kubu lawan.— Facebook/TFC

PELUANG Terengganu FC (TFC) untuk merebut tempat ketiga Liga Super musim ini semakin tipis selepas tewas 0-1 kepada Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Sabtu.

Dengan hanya dua perlawanan liga berbaki, TFC kini berada di kedudukan kelima dengan 32 mata, ketinggalan empat mata di belakang Kuching City FC dan Sabah FC yang menduduki tempat ketiga dan keempat.

Kedudukan itu sekali gus menyukarkan misi anak-anak buah Badrul Afzan Razali untuk merebut tempat ketiga Liga Super.

BACA LAGI: Aidilfitri tak bawa tuah, misi ‘Top 3’ Terengganu makin sukar

BACA LAGI: Bukan 100 peratus produk AMD, Arif Aiman lahir hasil bimbingan JDT

Misi Sang Penyu untuk merebut tempat ketiga Liga Super semakin sukar. Facebook/TFC

Bagi legenda Terengganu, Che Ku Marzuki, kekalahan mudah Sang Penyu itu berpunca daripada kelemahan di bahagian pertahanan yang memberi ruang kepada Gergasi Merah untuk melancarkan serangan.

"Kekalahan 0-1 pada babak kedua berpunca daripada kelemahan dalam bertahan. Selangor hanya membuat hantaran dua sentuhan dari kawasan tengah ke penyerang dan terus melepaskan rembatan ke pintu gol.

"Ini menunjukkan kelemahan pertahanan dalam situasi satu lawan satu, di mana sepatutnya ia menjadi dua lawan satu. Dengan masa hampir tamat, matlamat TFC ke Stadium MBPJ adalah untuk sekurang-kurangnya meraih satu mata tidak kesampaian," katanya kepada Majoriti.

Che Ku turut berharap agar anak-anak buah Badrul Afzan menunjukkan semangat juang yang tinggi dalam membantu Sang Penyu meraih kemenangan dalam dua perlawanan bertemu PDRM FC dan Kedah Darul Aman FC.

Pada masa yang sama, Che Ku memberi pesanan kepada Badrul Afzan agar tidak terburu-buru mengeluarkan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dalam dua perlawanan liga akan datang jika mahu meraih keputusan positif.

Badrul Afzan membuat keputusan mengejutkan dengan mengeluarkan Safawi (kanan) dan menggantikannya dengan Nelson Bonilla. Facebook/TFC

Dalam aksi getir bertemu Selangor FC, Badrul Afzan mengambil keputusan mengejutkan dengan mengeluarkan Safawi dan Akhyar pada babak kedua ketika Sang Penyu bergelut untuk menyamakan kedudukan.

Che Ku juga berpendapat bahawa tanpa dua tonggak utama itu di atas padang, corak permainan Sang Penyu akan terjejas kerana tiada pemain yang mampu membawa bola ke kawasan berbahaya lawan.

"Persediaan pasukan untuk perlawanan di tempat lawan mestilah bermula dari awal, termasuk kecergasan, semangat juang yang tinggi dan strategi bertahan dengan sekurang-kurangnya tiga pemain bertahan.

"Jika kita nilai berdasarkan kedudukan di carta liga, TFC sebenarnya layak untuk menang kedua-dua perlawanan akan datang.

"Kekalahan kepada Selangor berpunca daripada ketiadaan Safawi dan Akhyar yang dikeluarkan, menyebabkan bola tidak sampai ke pintu gol Selangor. Ini memberikan peluang kepada pemain Selangor di kawasan tengah untuk membantu penyerang mereka.

Akhyar turut dikeluarkan pada babak kedua dan digantikan dengan Engku Nur Shakir. Facebook/TFC

"Selepas Safawi dan Akhyar dikeluarkan, tiada pemain TFC yang mampu membawa bola ke dalam kawasan kotak penalti lawan.

"Untuk mencari kemenangan dalam dua perlawanan akan datang, daya saing pemain perlu dipertingkatkan. Safawi dan Akhyar mesti berada di atas padang selama 90 minit, kecuali jika ada kecederaan," ujarnya.

Meskipun berdepan lawan yang sukar dalam dua perlawanan akan datang, Che Ku tetap optimis bahawa Sang Penyu masih berpeluang meraih kemenangan dan mendapatkan enam mata penuh.

"TFC masih berpeluang untuk meraih kejayaan dalam dua perlawanan terakhir ini. Kekalahan kepada Selangor memberi motivasi tambahan kepada pemain untuk mencapai kejayaan.

"Pemain juga sedar bahawa mereka akan dinilai untuk memperbaharui kontrak dan kemungkinan besar pemain baru akan dimasukkan untuk meningkatkan pasukan," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram