
BEREGU badminton utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik sah menjuarai Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2025 selepas menundukkan gandingan Chen Bo Yang-Liu Yi dari China pada Ahad.
Aksi yang berlangsung di Pusat Olimpik Ningbo, China itu menyaksikan beregu negara bermula dengan baik sehingga berjaya meraih kelebihan dengan kemenangan 21-19 dalam set pertama.
Momentum mereka diteruskan bagi set kedua, namun Bo Yang-Liu Yi tampil dengan persembahan lebih cemerlang sehingga pada satu ketika mereka memiliki kelebihan tiga mata.
BACA LAGI: Kalahkan juara bertahan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik cemerlang ke perlawanan akhir BAC
BACA LAGI: Hasrat pertahan kejuaraan tak kesampaian, Aaron Chia-Wooi Yik tersingkir Terbuka Denmark
Aaron Chia dan Wooi Yik pasti berbangga dengan persembahan mereka dalam BAC 2025 di China. — Facebook/BAM
Bagaimanapun, keazaman dipamerkan Chia-Wooi Yik tidak pernah luntur apabila mereka berjaya mengikat kedudukan dengan memberi tentangan lebih hebat, terutamanya selepas tempoh 'interval'.
Kesungguhan ditonjolkan mereka akhirnya membuahkan hasil apabila beregu nombor 11 dunia terbabit mencatatkan kemenangan 21-17 yang sekali gus mengesahkan mereka sebagai juara BAC 2025.
Kemenangan itu juga menamatkan kemarau 18 tahun gelaran kejohanan sama yang kali terakhir dimenangi Choong Tan Fook-Lee Wan Wah di Johor Bahru pada 2007.
Menerusi kemenangan itu, Aaron-Wooi Yik membawa pulang wang tunai $37,000 (RM165,227) manakala Bo Yang-Liu Yi berpuas hati dengan ganjaran $17,500 (RM78,147).
Selepas ini mereka bakal menggalas cabaran bersama skuad badminton negara dalam saingan Piala Sudirman di Xiamen, China bermula 27 April hingga 4 Mei ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram