
PASANGAN beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie menjadi wakil Malaysia pertama menempah tempat ke suku akhir Kejohanan Badminton Asia 2025 (BAC2025) yang diadakan di Ningbo, China pada Khamis (10 April).
Gandingan suami isteri itu mempamerkan aksi meyakinkan untuk menumbangkan pemain Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 21-17, 21-14 dalam masa 39 minit sahaja di Pusat Sukan Olimpik Ningbo.
Kemenangan berkenaan menetapkan pertembungan lapan terakhir menentang Jafar Hidayatullah-Felisha Pasaribu dari Indonesia pada Jumaat.
BACA LAGI: Beraksi semula lepas lama berehat, Jonassen mahu Tze Yong nikmati 'comeback' ke gelanggang
BACA LAGI: [VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang
Bagaimanapun, keputusan kurang bernasib baik diperoleh untuk perseorangan wanita negara iaitu Goh Jin Wei apabila perjuangan pemain di ranking ke-48 dunia itu berakhir di tangan pemain Thailand iaitu Supanida Katethong.
Jin Wei yang telah menamatkan sumpahan pusingan pertama sembilan tahun awal minggu ini, berharap untuk membina kejayaan itu tetapi tidak dapat mengatasi kekuatan lawannya, Katethong dan akhirnya tewas 15-21, 16-21 dalam straight set.
Sementara itu, harapan tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki iaitu Justin Hoh terpaksa akur dengan kekalahan di tangan juara bertahan dari Indonesia, Jonatan Christie dalam aksi pusingan kedua BAC2025 pada Khamis.
Pemain muda berusia 20 tahun tersebut sebelum ini mencuri tumpuan apabila berjaya menundukkan pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok-jin dalam satu perlawanan sengit pada pusingan pertama.
Kemenangan berkenaan jelas menyuntik semangat buat Justin untuk berdepan lawan yang jauh lebih berpengalaman. Namun, usaha gigih dan semangat juang tinggi yang dipamerkan Justin tidak cukup untuk mengatasi cabaran Jonatan.
Dengan penguasaan permainan yang kemas dan strategi berpengalaman, pemain Indonesia yang kini menduduki ranking keempat dunia itu berjaya mencatat kemenangan straight set 21-13, 21-19 dalam masa 46 minit.
Kekalahan itu sekaligus menamatkan kempen Malaysia dalam acara perseorangan lelaki di kejohanan berprestij tersebut. Meskipun tersingkir, pencapaian Justin dianggap sebagai satu pengalaman berharga dalam usahanya untuk terus meningkat di pentas antarabangsa. — The Star/ADAM ZAMRI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram