
SETELAH lama berehat, pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong kembali ke gelanggang pada Kejohanan Badminton Asia 2025 (BAC2025) yang diadakan di Ningbo, China.
Tze Yong kembali beraksi selepas berehat panjang akibat mengalami kecederaan belakang dengan pemain itu melakukan dua pembedahan untuk pulih.
Akan tetapi, lawan yang menanti Tze Yong pada pusingan pertama yang dijadualkan pada Rabu (9.00 pagi waktu Malaysia) adalah bintang Thailand iaitu Kunlavut Vitidsarn.
BACA LAGI: Perlu lebih masa untuk 'comeback', Ng Tze Yong sah terlepas Terbuka Malaysia
BACA LAGI: [VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang
Kenneth Jonassen (kanan) tidak mahu Tze Yong terbeban dalam mencari kemenangan. — The Star/MUHMAD SHAHRIL ROSLI
Akan tetapi, bagi jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Kenneth Jonassen tidak mahu Tze Yong tertekan berdepan Vitidsarn. Sebaliknya, dia mahu pemainnya itu menikmati kepulangan semula ke gelanggang.
Malah, Jonassen mahu Tze Yong berbangga melihat usaha kerasnya dalam proses pemulihan yang membolehkan dia kembali ke gelanggang selepas lama berehat.
"Sasaran saya untuk Tze Yong adalah mudah saja untuk masa ini. Saya nak dia menikmati detik kembalinya dia dalam aksi kompetitif.
"Saya juga mahu dia lihat sejauh mana dia sudah melangkah hasil daripada setiap perlawanan dan berbangga dengan pencapaiannya dalam dua bulan terakhir (untuk pulih).
"Dia perlu menerima yang akan ada cabaran baharu menanti di depannya," jelas Jonassen.
Penampilan terakhir Tze Yong sebelum cedera adalah ketika mewakili Malaysia dalam BAC2024 yang turut diadakan di Ningbo, China.
Walaupun mengalami kecederaan, tetapi ranking Tze Yong tidak terjejas apabila dia kekal di tempat ke-18 dunia selepas kedudukannya menerima perlindungan (protection) oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Selain BAC2025, Tze Yong akan menyertai kejohanan lain seperti Terbuka Taiwan (6-11 Mei) dan Terbuka Thailand (13-18 Mei). — The Star/R. KIRUBASHINI
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram