BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terpaksa akur dengan penyingkiran dari Terbuka Denmark selepas dikecewakan gandingan China, Chen Boyang-Liu Yi pada Jumaat.
Kekalahan 20-22, 15-21 itu sekali gus menyaksikan mereka gagal mempertahankan kejuaraan yang diraih pada tahun lalu dengan pertembungan itu hanya berlangsung selama 41 minit di Arena Jyske Bank, Odense, Denmark.
Lebih mengejutkan lagi, keputusan berkenaan menyaksikan rekod cemerlang beregu lelaki negara itu menentang Boyang-Liu Yi tercalar selepas mereka bertemu dua kali sebelum ini.
BACA LAGI: Cedera buku lali, Zii Jia tarik diri Terbuka Denmark
Aaron Chia dan Wooi Yik mengungguli kategori beregu lelaki Terbuka Denmark tahun lalu.
Pertemuan yang pertama direkodkan dalam Malaysian Masters di peringkat 16 pasukan terbaik dengan kemenangan berpihak kepada Aaron Chia-Wooi Yik sebelum mereka sekali lagi bertemu di pusingan pertama Terbuka Artik awal Oktober lalu.
"Ia merupakan perlawanan yang agak sengit kerana lawan kami beraksi dengan cukup baik. Dalam set kedua pula, kami berdepan kesukaran untuk menyaingi mereka," kata Wooi Yik.
Kekalahan itu menyaksikan beregu negara berkenaan akan mengalihkan perhatian ke Terbuka Korea di Iksan City, Korea Selatan yang berlangsung dari 5 hingga 10 November. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram