Kalahkan juara bertahan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik cemerlang ke perlawanan akhir BAC


  • Podium
  • Sabtu, 12 Apr 2025

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mencipta sensasi apabila melangkah ke final Kejohanan Badminton Asia. — Agensi

BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencipta sensasi apabila melangkah ke final Kejohanan Badminton Asia (BAC) selepas meraih kemenangan bergaya ke atas juara bertahan dari China yang juga pasangan nombor tiga dunia, Liang Weikeng-Wang Chang.

Pasangan nombor enam dunia itu berada dalam prestasi terbaik apabila mencatat kemenangan meyakinkan 21-12, 21-14 dalam masa hanya 31 minit ke atas pilihan tuan rumah di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Ningbo dekat China pada Sabtu (12 April).

Kemenangan ini merupakan satu bentuk pembalasan manis buat Aaron-Wooi Yik yang sebelum ini tewas tipis kepada Weikeng-Wang Chang dalam pertemuan terakhir mereka di separuh akhir Sukan Olimpik Paris pada Ogos tahun lalu.

BACA LAGI : Misi buru gelaran di Vietnam, prospek badminton negara teruja berganding pemain veteran

BACA LAGI : Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia

Menariknya, kejayaan kali ini juga merupakan kemenangan ketiga Aaron dan Wooi Yik ke atas gandingan China itu daripada 11 pertemuan setakat ini, sekali gus mempamerkan peningkatan dan keazaman luar biasa pasangan negara tersebut.

Lebih manis, pasangan nombor dua negara itu berjaya mara ke final pertama mereka bagi tahun ini dan bakal berentap menentang pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara pasangan tuan rumah, Chen Boyang-Liu Yi atau gandingan Indonesia, Leo Rolly-Bagas Maulana dalam perebutan gelaran juara pada Ahad ini.

Untuk rekod, Aaron-Wooi Yik muncul naib juara kejohanan ini pada tahun 2022 dan kini mempunyai peluang keemasan untuk menebus kekalahan tersebut dengan merangkul gelaran juara edisi 2025. — The Star/ R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram