Yakeb berhasrat dekati Lee Chong Wei, Nicol Ann David bantu atlet veteran


  • Podium
  • Rabu, 26 Mac 2025

Program sumbangan khas diadakan dengan kerjasama Yakeb, DPMUM, Astro Arena dan Milo kepada 50 bekas atlet terpilih.

BULAN Ramadan menjadi waktu penuh bermakna bagi umat islam, terutamanya bagi mereka yang sangat memerlukan.

Dalam usaha membantu bekas atlet yang pernah berjasa kepada negara, program sumbangan khas telah diadakan dengan kerjasama Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Dewan Perniagaan Muslim Malaysia (DPMUM), Astro Arena dan Milo kepada 50 bekas atlet terpilih.

Inisiatif ini bertujuan meringankan beban penerima menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

BACA LAGI: Taktikal Peter Cklamovski lawan Vietnam penentu skuad Harimau Malaya rombak atau kekal — Reduan Abdullah

BACA LAGI: SPL lubuk import Jepun berkualiti buat kelab Liga Super jimat bajet musim depan

 

Menurut Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, pemilihan penerima dibuat berdasarkan keadaan semasa mereka, khususnya mereka yang menetap di Kuala Lumpur.

"Kami mempunyai senarai besar bekas atlet dan pemilihan dibuat secara rawak bagi mereka yang dikenal pasti menghadapi kesukaran dalam kehidupan," jelasnya.

Tambahnya, Yakeb juga berhasrat mendekati beberapa ikon sukan negara termasuk Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol Ann David bagi menyertai inisiatif mereka dalam membantu bekas atlet kebangsaan.

Shapawi (kanan) menyampaikan sumbangan khas kepada atlet veteran.

Program itu juga mendapat perhatian pihak lain seperti bekas jaguh sukan yang kini berjaya dalam bidang masing-masing.

"Beberapa individu hebat telah tampil menghulurkan sumbangan, antaranya jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou.

"Beliau memberi bantuan dengan menyelaraskan inisiatif untuk membantu rakan-rakan Yakeb,

"Kami mahu bekas atlet yang berjaya turut serta membantu rakan-rakan seperjuangan mereka.

"Jika boleh, mereka yang sudah stabil dalam kehidupan menyertai program ini bukan sebagai penerima, tetapi sebagai penyumbang," ujarnya.

Yakeb berhasrat mendekati beberapa ikon sukan negara termasuk Chong Wei.

Beliau turut menambah bahawa langkah ini akan diperluaskan pada masa hadapan bagi memastikan kebajikan bekas atlet lebih terjaga.

"Kami menyelaraskan usaha ini dengan beberapa pihak lain dan berharap agar ia dapat menjadi satu gerakan yang berterusan," jelasnya.

Dengan lebih 3,000 ahli dalam Yakeb, program seperti itu diharapkan dapat memberikan sedikit sinar kepada mereka yang memerlukan.

Usaha berterusan daripada pelbagai pihak amat penting bagi memastikan bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara tidak dipinggirkan dan terus mendapat sokongan dalam kehidupan mereka selepas bersara daripada arena sukan.

Salah seorang penerima, bekas atlet badminton Zulkafli Mohd Shaari, melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima.

"Sumbangan ini amat bermakna untuk saya, lebih-lebih lagi dalam keadaan saya yang mempunyai masalah kecederaan.

"Persiapan raya saya tahun ini agak terbatas, tetapi dengan bantuan ini, saya dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria," katanya kepada Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram