
SEJAK tiba di Old Trafford dua musim lalu, Rasmus Hojlund bergelut untuk membuktikan dirinya sebagai penyerang prolifik meskipun perbelanjaan besar dikeluarkan kelab tersebut bagi mendapatkan khidmatnya.
Dia yang ditandatangani dengan kos £72 juta (RM421 juta) dari Atalanta gagal memenuhi impian penyokong yang mahu melihatnya sebagai penyelesaiannya kepada isu ketumpulan barisan hadapan.
Namun, selepas merekodkan 85 penampilan buat skuad The Red Devils, pemain antarabangsa Denmark itu hanya merekodkan 24 jaringan dengan hanya 13 daripadanya dicetak dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
BACA LAGI: [VIDEO] 'Misi balas dendam terbalas', giliran CR7 siuuu di depan Hojlund
BACA LAGI: Man United terima khabar gembira, dapat peluang beli pengganti Hojlund, Zirkzee dengan harga murah
Malah, sejak kehadiran Ruben Amorim, Hojlund baru sahaja mencatatkan enam gol dan tiga bantuan jaringan yang menyukarkan usaha pengurus muda itu untuk membaiki musim pasukan.
Pulangan itu sekali gus membuatkan barisan kejurulatihan kurang berpuas hati dengan persembahannya sehingga mereka bersedia menunjukkan jalan keluar kepada penyerang berusia 22 tahun terbabit.
Hojlund (kiri) terus bergelut untuk membantu Amorim.
Berdasarkan laporan terkini, Manchester United mahu melepaskan Hojlund pada jendela perpindahan akan datang dengan harga serendah £52 juta (RM301 juta) yang menyaksikan mereka akan mengalami kerugian.
Setakat ini, hanya Juventus dilaporkan berminat dengan khidmat Hojlund yang mahu memperkuatkan jentera serangan sekiranya mereka terpaksa berpisah dengan peledak berbisa, Dusan Vlahovic.
Meskipun tidak mendatangkan sebarang keuntungan, wang diterima daripada perpindahan Hojlund akan membolehkan Manchester United membawa masuk mana-mana pengganti lebih baik.
Ini termasuk bekas anak buah Ruben Amorim, Viktor Gyokeres yang menjadi rebutan kelab-kelab elit sekitar Eropah selepas penyerang itu menikmati satu lagi musim cemerlang di Portugal.
Skuad The Red Devils juga difahamkan berminat dengan khidmat Alexander Isak, Benjamin Sesko dan Victor Osimhen yang masing-masing hadir dengan nilai perpindahan tinggi ketika ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram