'Saya akan kejar impian saya', penyerang Brazil beri petunjuk sertai Man United


  • Podium
  • Ahad, 13 Apr 2025

Cunha menjadi pemain paling menyerlah musim ini bersama Wolverhampton , dengan rekod 15 gol dalam 29 penampilan. — Agensi 

PENYERANG Wolverhampton Wanderers, Matheus Cunha mencetuskan kontroversi selepas memuat naik hantaran di Instagram yang menggambarkan hasratnya untuk meninggalkan kelab sebelum bertindak memadamnya beberapa minit kemudian.

Hantaran tersebut mengandungi gambar hitam putih dirinya mengenakan jaket latihan Wolves dengan kapsyen, 'Masa untuk bahagia. Saya akan mengikuti impian saya, bukan impian anda. Jadi, bertenang' yang jelas mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan penyokong.

Kumpulan penyokong pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) berkenaan, Talking Wolves sempat merakam tangkapan skrin hantaran itu, yang kemudiannya tular dan mengundang kritikan terhadap pemain Brazil itu. 

BACA LAGI: Hojlund buat Man United makin terdesak

BACA LAGI: Dia mahu hancurkan Man United — Cantona

Pemain berusia 25 tahun itu bertindak balas dengan lantang di ruangan komen dengan menegaskan bahawa menyatakan niatnya disalah tafsir dan mempertahankan komitmennya kepada kelab.

“Awak tahu apa yang awak mahu? Supaya orang tak suka saya di sini. Tapi saya turun ke padang untuk selesaikan masalah kelab kegemaran awak,” tegas Cunha.

Situasi membabitkan Cunha dan penyokong menjadi lebih tegang apabila Talking Wolves menafikan dakwaan tersebut dan menuduh pemain skuad kebangsaan Brazil berkenaan menyalahkan pihak lain atas kesilapan peribadinya. 

Cunha membalas semula dengan menuduh kumpulan itu menyebarkan berita palsu dan menambah: “Kalau awak tak suka saya, tak mengapa, kawan. Tapi kita berkongsi satu perkara — Wolves yang saya cintai.”

Cunha menyiarkan mesej samar ini di Instagram sebelum memadamkannya dengan pantas. 

Pertikaian berkenaan mencetuskan pelbagai reaksi di media sosial, dengan sesetengah penyokong melabel Cunha sebagai 'badut' dan menyeru agar penyerang itu digugurkan daripada skuad.

Walaupun berdepan tekanan luar padang, Cunha kekal sebagai antara pemain paling menyerlah musim ini bersama kelab yang berada di kedudukan ke-17 liga itu, dengan rekod 15 gol dalam 29 penampilan. 

Dengan kontraknya bersama Wolves sah hingga Jun 2029 dan klausa pelepasan sebanyak £62.5 juta (RM374 juta), beberapa kelab besar termasuk Manchester United, Arsenal, Tottenham, dan Newcastle dikatakan sedang memantau perkembangan pemain itu.

Satu kumpulan penyokong menonjolkan tingkah lakunya, menyebabkan Cunha bertindak balas dengan marah.

United yang dikaitkan rapat dengan Cunha, dipercayai perlu menjual sekurang-kurangnya seorang pemain senior bagi membiayai perpindahan tersebut. 

Antara nama yang disebut berkemungkinan meninggalkan Old Trafford termasuk Marcus Rashford, Antony, Jadon Sancho, serta dua pemain muda, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho. Namun hanya jika menerima tawaran yang sesuai.

Selain Cunha, United juga dilaporkan berminat terhadap penyerang Ipswich, Liam Delap, yang dijangka boleh didapati dengan harga sekitar £30 juta (RM180 juta) sekiranya kelabnya tersingkir dari liga utama. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram