
PERALIHAN ke acara baharu bukan tugas mudah, namun pemain beregu bebas iaitu Jimmy Wong, bersedia menghadapi cabaran dengan penuh semangat.
Bekas pemain beregu lelaki itu bakal beralih ke acara beregu campuran dan bergandingan dengan pemain berpengalaman, Lai Pei Jing.
Pei Jing, 32, dijadual menamatkan gandingannya bersama Tan Kian Meng, 30, selepas kejohanan All-England yang berlangsung dari 11 hingga 16 Mac di Birmingham.
Untuk info, pasangan beregu itu telah pun mendaftar untuk Vietnam International Challenge di Hanoi dari 25-30 Mac.
BACA LAGI: Lin Dan, ahli gandingan beregu emas negara antara bintang kidal badminton terhebat dunia
BACA LAGI: [VIDEO] Badminton nombor 2, adik Tze Yong tak terfikir mahu ikut langkah abang
Meskipun berbeza usia 10 tahun, Jimmy yakin dapat belajar banyak daripada Pei Jing serta menyesuaikan diri dengan pantas dalam kategori baharu ini.
“Bermain dalam beregu campuran mencabar kerana gaya permainan berbeza dengan beregu lelaki. Saya perlu banyak belajar daripada Pei Jing dan menyesuaikan diri sebaik mungkin.
“Memang ada tekanan kerana dia sudah bermain di peringkat tertinggi, sedangkan saya masih baharu dalam kategori ini. Namun, saya juga berasa teruja untuk menghadapi cabaran baharu ini," kata Jimmy.
Jimmy turut berazam untuk menamatkan kemarau kejuaraan dalam kariernya.
Jimmy yakin dapat belajar banyak daripada Pei Jing.
“Saya belum pernah memenangi gelaran senior sebelum ini, jadi saya berharap dapat melakukannya bersama Pei Jing,” katanya.
Sepanjang karier dalam beregu lelaki, pencapaian terbaik Jimmy adalah muncul naib juara bersama Lwi Shenghao di Terbuka Austria dan Slovenia pada 2023.
Pemain dari Kajang itu juga bertekad menghidupkan kembali kariernya selepas digugurkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 2022.
“Selepas saya digugurkan, saya berasa hilang arah dan sukar untuk meneruskan karier,” katanya.
“Namun, sokongan berterusan daripada ibu bapa memberi saya semangat untuk kembali berjuang dalam dunia badminton," tambahnya.
Jimmy mengidolakan Haifeng dalam sukan badminton.
Jimmy turut menjadikan legenda beregu lelaki China, Fu Haifeng, sebagai inspirasi dan berhasrat beraksi di Sukan Olimpik suatu hari nanti.
Haifeng, yang terkenal dengan smash bertenaga, meraih dua pingat emas Olimpik bersama Cai Yun (London 2012) dan Zhang Nan (Rio de Janeiro 2016).
“Saya suka menonton Haifeng bermain sejak kecil. Gaya permainannya sangat agresif, dan dia begitu garang di gelanggang,” katanya.
“Saya mahu mengikuti jejak langkahnya dan berharap dapat beraksi di Sukan Olimpik suatu hari nanti," tutupnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram