
MENJADI norma apabila badminton didominasi oleh pemain yang menggunakan tangan kanan ketika beraksi di gelanggang.
Namun begitu, badminton turut menyaksikan kemunculan beberapa bintang yang menggunakan tangan kiri ketika beraksi dan dalam masa yang sama, menguasai pelbagai kejuaraan.
Majoriti melihat tiga pemain kidal yang pernah merajai dunia badminton dengan persembahan bertenaga mereka.
BACA LAGI: [VIDEO] Lin Dan tayang skil, pukul bulu tangkis cuma guna 4 tali raket
BACA LAGI: Pertemuan Zii Jia, Momota jadi perhatian dunia
Kento Momota
Jika Jepun mempunyai satu bintang dalam badminton, Kento Momota adalah nama yang pasti disebut.
Pemain ini merupakan antara bintang kidal yang cukup berbahaya ketika beraksi dengan Momota berjaya meraih pelbagai kejuaraan dalam Jelajah Dunia BWF seperti Terbuka Indonesia, Terbuka China, Kejohanan Seluruh England (All England) dan Jelajah Dunia Akhir.
Karier Momota terbantut didorong oleh kemalangan dihadapinya. — Agensi
Momota turut memenangi kejuaraan elit lain seperti Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia dengan melakukannya sebanyak dua kali pada kedua-dua pertandingan itu. Momota turut memenangi Piala Thomas pada 2014 dengan menewaskan Malaysia di perlawanan akhir.
Ketika di puncak, karier Momota terhenti selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Malaysia. Insiden itu menjadi titik penting kepada karier yang berakhir pada 2024.
Tan Boon Heong
Dalam sejarah badminton Malaysia, kita juga pernah mempunyai pemain kidal yang pernah menggegarkan dunia satu masa dahulu.
Tan Boon Heong merupakan komponen kidal kepada gandingan beregu bersama Koo Kien Keat yang pernah menerima gelaran "beregu emas" selepas membantu Malaysia meraih pingat tersebut di Sukan Asia 2006.
Boon Heong (depan) merupakan sebahagian daripada pasangan Beregu Emas negara. — Agensi
Bersama Kien Keat, Boon Heong pernah meraih pingat emas Sukan Komanwel sebanyak dua kali selain merangkul gelaran juara Terbuka Malaysia, Kejohanan Seluruh England dan Jelajah Dunia Akhir.
Boon Heong juga pernah memecahkan rekod dunia pada 2013 dengan mencatatkan pukulan smash terpantas iaitu selaju 421 km/j.
Lin Dan
Siapa tidak kenal dengan Lin Dan? Pesaing utama Datuk Lee Chong Wei yang memastikan sukan badminton mempunyai perseteruan unik seperti Roger Federer-Rafael Nadal (tenis) dan Cristiano Ronaldo-Lionel Messi (bola sepak).
Jaguh dari China itu ibarat mempunyai roket pada tangan kirinya. Setiap pukulannya sering menghasilkan gerun dan menyukarkan lawan untuk membalasnya.
Lin Dan meraih pelbagai kejuaraan utama sepanjang kariernya. — Agensi
Rekod Lin Dan tidak boleh disangkal lagi. Dua pingat emas Sukan Olimpik, lima gelaran Kejohanan Dunia, enam Piala Thomas dan pelbagai gelaran Jelajah Dunia BWF yang tidak terkira menjadikan dia pemain kidal terhebat dalam dunia badminton.
Legasi Lin Dan sememangnya sukar untuk dipecahkan dan dia nyata meletakkan piawaian tinggi bagi seorang pemain kidal dalam badminton. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram