'Kita cukup dihormati waktu itu', Sandro terkenang era kegemilangan Kedah


  • Podium
  • Jumaat, 11 Apr 2025

Sandro (kiri) antara pemain yang memberikan piala buat Kedah ketika kariernya.

SATU masa dahulu, Kedah Darul Aman FC cukup disegani dalam bola sepak Malaysia. Gergasi dari Utara itu sentiasa dianggap sebagai kelab digeruni serta sering menghasilkan pemain tempatan berkualiti.

Malah, pada era kegemilangannya, Kedah pernah mencatatkan sejarah meraih gelaran double treble yang diketuai oleh mantan jurulatih, Allahyarham Azraai Khor Abdullah.

Namun kini, segalanya berbeza. Kedah yang dahulu digeruni, kini sering menjadi mangsa belasahan kelab-kelab Liga Super yang lain.

BACA LAGI: Sandro kongsi pemergian bekas import Kelantan akibat komplikasi kesihatan

BACA LAGI: Sambut 'birthday' ke-40, Sandro sukar lupakan kenangan manis di Bumi Darul Aman, masih Wira Kedah di hati Kepak Kenari

Situasi itu jelas menyeksakan para penyokong dan pemain ketika ini. Malah, bekas pemain turut sedih melihat situasi semasa Kedah.

Ada pemain-pemain terdahulu yang terkenangkan kegemilangan Kedah, salah seorangnya adalah bekas pemain import iaitu Sandro Mendonca.

Sandro yang amat disenangi oleh penyokong Kedah meninggalkan komen di siaran media sosial bekas ketua pasukan, Khairul Helmi Johari yang mengenang semula kegemilangan Sang Kenari.

Khairul Helmi menyiarkan gambar skuad Kedah bersama Almarhum Sultan Abdul Halim Muazam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah meraik kejayaan mereka meraih Piala Malaysia 2016.

"Akhirnya,aku dapat rasakan betapa nilainya gambar ini, keadaan dan suasana ketika tu. Masa sudah berlalu," kata Khairul Helmi.

"Legenda sebenar! Masa berlalu dengan pantas! Kita sangat dihormati ketika itu, rindu anda semua!," balas Sandro.

Detik-detik kegemilangan buat Kedah jelas sekadar kenangan lampau buat penyokong dan pemain. Kini, pengurusan perlu berkerja dengan keras bagi memastikan kelab kembali stabil dan boleh bersaing.

Apa yang pasti, Kedah memerlukan keajaiban dalam usaha mengembalikan kestabilan dari segi kewangan supaya dapat kembali mencabar kejuaraan seperti masa dulu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram