Sandro kongsi pemergian bekas import Kelantan akibat komplikasi kesihatan


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

Sandro (kiri) yang beraksi buat Kedah ketika berdepan bek Kelantan FC, Cassio dalam saingan Liga Malaysia beberapa musim lalu.

SEPANJANG beraksi dalam saingan Liga Malaysia, Sandro Mendonca yang cukup sinonim dengan Kedah FA sempat berdepan lambakan pemain import mahupun bintang lokal.

Hal itu membolehkan pemain kelahiran Brazil tersebut mencipta hubungan persahabatan yang baik, terutamanya dalam kalangan rakan senegara meskipun tidak beraksi dalam satu pasukan.

Persahabatan itu nampaknya kekal sehingga hari ini kerana pemain tengah tersebut kerap meluangkan masa bersama-sama di negara Amerika Selatan tersebut selain mengikuti perkembangan bekas import Liga Malaysia.

BACA LAGI: Sandro sukar hadam nasib Kedah, akui pemain sukar berentap di tahap terbaik

BACA LAGI: Biar era berbeza, pertemuan 2 legenda import Brazil bukti hubungan Hijau Kuning kukuh

Sandro menghabiskan tempoh beberapa musim dalam Liga Malaysia dengan majoriti daripadanya dihabiskan di Utara tanah air. Facebook/Kedah FA

Salah seorang pemain yang kelihatan masih akrab dengan Sandro ialah bekas import Kelantan FC, Cassio Francisco yang beraksi dalam Liga Super buat dua musim bermula 2017.

Hubungan kukuh itu dikekalkan memandangkan pada penghujung tahun lalu, Cassio dilaporkan menghadapi masalah kesihatan sehingga terpaksa menamatkan karier lebih awal pada usia 34 tahun.

Jadi, dalam usaha memberi sokongan berterusan, Sandro terus mengikuti perkembangan rakan senegaranya itu dengan dia kerap meninggalkan komen yang membakar semangat di laman media sosial bekas pemain pertahanan The Red Warriors (TRW) itu.

Bagaimanapun, dalam perkembangan terbaru, Cassio difahamkan sudah menghembuskan nafas terakhirnya pada Selasa selepas kira-kira dua bulan menerima rawatan di Brazil.

Sandro menyampaikan ucapan takziah buat keluarga serta kenalan Cassio di Instastory peribadinya.

Kisah pilu tersebut dikongsikan Sandro menerusi hantaran di Instastory dengan menyatakan bahawa mendiang merupakan seorang pejuang dan rakan yang baik meskipun beberapa kali bertarung di atas padang.

"Anda akan diingati kami semua, semoga Tuhan menerima anda dengan tangan terbuka. Salam takziah ingin saya sampaikan buat keluarga, terutamanya untuk isteri anda, Karla.

"Dua minggu lalu, kita bercakap dan kita semua percaya akan kesembuhan anda tetapi perancangan Tuhan adalah berbeza dan saya yakin Dia melakukan apa yang terbaik buat kita semua. Ini adalah saat yang pahit bagi kita semua," tulisnya.

Luahan menyentuh hati itu dibuat berserta sekeping gambar memaparkan kedua-dua pemain tersebut bertembung di atas padang dengan Sandro beraksi buat skuad Sang Kenari sementara Cassio bersama Kelantan FC.

Cassio disahkan meninggal dunia pada Rabu selepas dua bulan bertarung dengan penyakit dialaminya. Instagram/Barito Putera

Pada penghujung Disember lalu, mendiang dilaporkan menghidapi penyakit anemia aplastik yang mengurangkan penghasilan sel darah merah, sekali gus mendesaknya untuk menerima rawatan berterusan di hospital.

Penyakit tersebut dipercayai dihadapi ketika dia beraksi di Thailand buat Navy FC, namun kelab berkenaan enggan menanggung kos perubatan sehingga membuatkannya terpaksa pulang ke tanah kelahirannya.

Bagaimanapun, meskipun sudah melakukan segala usaha terbaik, Cassio masih tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia pada usia 35 tahun. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram