MESKIPUN sudah meninggalkan kelab Liga Super bertahun-tahun lamanya, beberapa bekas pemain import masih sukar melupakan kenangan pahit manis yang pernah dicipta.
Selain menceritakan perasaan itu kepada media tempatan, ada yang kerap memuat naik hantaran untuk mengimbau momen menarik di laman media sosial masing-masing.
Antara yang sering berbuat demikian ialah bekas tonggak Kedah dan Selangor, Sandro Mendonca dengan dia beberapa kali berbuat demikian di akaun Instagram peribadinya.
BACA LAGI: Sandro sukar hadam nasib Kedah, akui pemain sukar berentap di tahap terbaik
BACA LAGI: Biar era berbeza, pertemuan 2 legenda import Brazil bukti hubungan Hijau Kuning kukuh
Sandro sempat mencipta pelbagai manis buat skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA
Dia yang lebih sinonim dengan skuad Sang Kenari sepanjang beraksi di Liga Super sering berkongsi kenangan manis pernah diciptakan sepanjang empat musim beraksi di kelab Utara tanah air itu.
Hantaran itu juga menerima respons baik daripada penyokong Hijau Kuning yang masih merindui kelibat pemain kelahiran Brazil berkenaan meskipun dia sudah meninggalkan Kedah lebih lima tahun lalu.
Malah, pada Selasa, seorang pengguna Instagram, Mohd Hazriq Fahimy berkongsi semula keratan akhbar mengenai jaringan hatrik pernah dicipta Sandro ketika beraksi buat Kedah.
Perkongsian tersebut dibuat sempena sambutan kelahiran ke-40 pemain tengah itu yang sudah mengumumkan persaraan beberapa tahun lalu selepas kali terakhir beraksi untuk Sarawak United FC.
Gol hatrik yang dilaporkan itu terhasil ketika skuad Sang Kenari berdepan Terengganu di Stadium Darul Aman, Kedah di peringkat kumpulan Piala Malaysia 2015.
Sumbangan itu menyaksikan Kedah menghangatkan kempen mereka dalam pertandingan berkenaan yang sekali gus membantu pasukan tersebut layak ke pentas akhir, namun tewas kepada Selangor.
Bagaimanapun, kebangkitan dipamerkan pada tahun-tahun berikutnya apabila Sandro menjadi watak penting ketika kelabnya meraih pelbagai kejayaan di peringkat domestik, termasuk menjuarai Piala Malaysia 2016.
Jadi, keratan akhbar bertajuk 'Sandro Wira Kedah' itu pasti cukup untuk menceritakan sumbangan bermakna dilakar pemain berkenaan di pasukan itu sepanjang empat tahun diluangkannya.
Untuk rekod, berdasarkan maklumat diperolehi, pemain itu sempat merekodkan 34 penampilan buat skuad Sang Kenari dengan 15 jaringan dan 10 bantuan gol dicatatkannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram