[VIDEO] Fans Hijau Kuning berang, mutu pengadilan punca KDA FC B tewas kepada JDT


  • Podium
  • Rabu, 22 Jan 2025

Skuad muda Sang Kenari mengalami kekalahan kesembilan musim ini dalam Piala MFL ketika menerima kunjungan JDT II. — Facebook/KDA FC B

SAINGAN Piala MFL musim ini semakin hangat memasuki aksi-aksi terakhir memandangkan pendahulu carta, Johor Darul Ta'zim (JDT) II hanya dibezakan satu mata berbanding pencabar terdekat, Selangor FC.

Kelebihan ketika ini masih berpihak kepada skuad Gergasi Merah yang masih memiliki kelebihan satu perlawanan selain turut mempunyai perbezaan gol lebih baik berbanding pencabarnya itu.

Namun, skuad Harimau Selatan kelihatan tidak terkesan dengan tekanan diberikan apabila membawa pulang 10 mata daripada lima perlawanan terakhir, termasuk keputusan seri penting ke atas Selangor FC.

BACA LAGI: [VIDEO] Sony Norde hanya pergi 6 bulan, janji balik KDA FC kalau semua selesai

BACA LAGI: Nasib malang KDA FC tak berpenghujung jadi ingatan buat semua pasukan

474735917_1184043223091652_7479405408057968527_n

Skuad Harimau Selatan meraih kemenangan penting ke atas KDA FC B. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Dalam perlawanan pada Selasa, JDT II mudah menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC B di tempat lawan dengan keputusan 1-0 hasil jaringan Danish Syamer Tajuddin pada babak pertama.

Disiplin benteng pertahanan sepanjang 90 minit permainan daripada anak-anak buah Juan Miguel Munoz menyaksikan benteng pertahanan mereka tidak dibolosi, sekali gus menghadiahkan tiga mata penuh buat mereka.

Namun, di sebalik kenangan manis buat peminat JDT itu, penyokong tuan rumah pula berasa berang apabila mereka beranggapan mutu pengadilan menyebabkan pasukan Utara tanah air tersebut pulang dengan tangan kosong.

Dalam video dimuat naik di laman Facebook Darah Hijau Kuning Supporter Club, kelihatan skuad muda Sang Kenari melancarkan serangan sebelum salah seorang pemain menanduk masuk hantaran lintang.

Bagaimanapun, percubaan itu digagalkan penjaga gol JDT II, Zulhilmi Sharani berjaya menampan bola sehingga menyaksikan pengadil perlawanan tidak memberikan gol kepada tuan rumah.

Melihat kepada ulang tayang perlahan, bola sebenarnya sudah melepasi garisan gol dan jaringan sepatutnya diberikan kepada KDA FC B, tetapi gagal dikesan pengadil dan penjaga garisan.

Situasi tersebut sememangnya pahit untuk ditelan penyokong Hijau Kuning yang beranggapan kekalahan itu sukar diterima kerana mutu pengadilan punca skuad bimbingan Khairul Ismail mengalami kekalahan kesembilan Piala MFL.

"Rakaman jelas bahawa bola dijaringkan pasukan Kedah B kelmarin (Selasa) dalam Piala MFL dibatalkan pengadil sehingga Kedah terpaksa kalah tipis dengan jaringan 1-0.

"Bukan tak boleh terima kekalahan tapi kalah dengan cara sebegini sukar diterima. Sudahlah pemain skuad Bawah 23 Tahun (B-23) beraksi tanpa import dan perlu berusaha bersungguh-sungguh, namun dibatalkan pula jaringan," kata Darah Hijau Kuning Supporter Club.

"Macam tu pula mutu pengadilan dalam negara ini? Nama sahaja pengadil, tetapi bertindak seperti tidak adil," kata Ikhwan Syazirul.

"Aku hormat dengan pemain-pemain muda ini. Main bersungguh-sungguh, aku masih akan kira keputusan 1-1 walaupun hakikatnya gol kita dinafikan," kata Shuhaimi Kadir.

Kekalahan dialami di laman sendiri itu menyaksikan skuad muda Sang Kenari berada di tangga ke-11 selepas hanya meraih 21 mata daripada 18 perlawanan dengan peluang masih cerah untuk memperbaiki kedudukan.

Selepas ini, JDT II akan berdepan Kuala Lumpur (KL) City Extension pada 2 Februari sementara KDA FC B akan beraksi di Stadium MP Temerloh, Pahang pada hari kemudiannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram