Anak jati Sarawak termasuk bintang JDT-TBG kini dalam radar kelab Borneo musim depan


  • Podium
  • Ahad, 06 Apr 2025

The Cats dikatakan akan membawa masuk tiga pemain baharu bagi menghadapi kempen Liga M musim depan. — Facebook/Kuchingcityfc

DENGAN hanya dua perlawanan berbaki dalam saingan Liga Super 2024, Kuching City FC dilihat semakin bersemangat untuk menghadapi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan, termasuk merancang beberapa perubahan dalam pasukan.

Pengerusinya, Datuk Fazzrudin Abdul Rahman, baru-baru ini mendedahkan bahawa pasukan yang berpangkalan di Borneo itu kini sedang dalam rundingan untuk mendapatkan tiga pemain baharu bagi memperkuatkan skuad menjelang musim 2025.

Namun begitu, beliau tidak mendedahkan identiti ketiga-tiga pemain terbabit. Meskipun begitu, Fazzrudin memberi bayangan bahawa pihak pengurusan sedang berusaha membawa masuk anak jati Sarawak yang berpotensi bagi memperkukuh jentera pasukan.

BACA LAGI: Cabar diri berpuasa, legenda Bujang Senang terkenang momen manis raikan Aidilfitri di Terengganu

BACA LAGI: 'Enggan letak harapan tinggi ABK', bintang pinjaman JDT mahu fokus bantu The Cats

Walaupun nama pemain masih dirahsiakan, para penyokong dilihat sudah mula membuat spekulasi mengenai siapakah bintang yang bakal menyertai skuad The Cats itu.

Lebih menggembirakan, Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong turut mengesahkan bahawa Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak akan terus kekal membimbing pasukan Kuching City musim depan.

Tidak mustahil, tiga anak jati Sarawak dijangka bakal memperkuatkan Kuching City pada musim hadapan.

1. Tommy Mawat Bada

Tonggak Perak FC, Tommy Mamat Bada antara nama yang hangat diperkatakan bakal kembali ‘ke sarang’ bagi memperkuatkan Kuching City musim depan.

Bek kiri kelahiran Sarawak itu dilihat sebagai calon ideal untuk memperkukuh benteng pertahanan skuad The Cats.

Sepanjang beraksi bersama The Bos Gaurus, Tommy telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan membuat 23 penampilan liga, mempamerkan disiplin tinggi dalam mengekang asakan pihak lawan.

Tommy Mawat dijangka pulang ke pangkuan Kuching City musim depan. — Facebook/Perakfc

Meskipun beraksi di posisi pertahanan, pemain berketinggian 1.73 meter itu turut menyumbang dua gol dan satu bantuan jaringan dalam kempen liga musim ini sekali gus membuktikan keupayaannya sebagai pemain serba boleh.

Sebelum bersama Perak, Tommy pernah menyarung jersi beberapa pasukan lain termasuk Negeri Sembilan FC, Sabah FC, Selangor FC II, Sarawak United FC serta Kuching City FC sendiri.

2. Gabriel Nistelrooy

Penjaring terbanyak Piala MFL, Gabriel Nistelrooy wajar dipertimbangkan untuk dibawa masuk oleh Kuching City bagi menghadapi musim hadapan.

Pemain berusia 24 tahun itu telah membuktikan keupayaannya sebagai penyerang tempatan yang berkualiti apabila kini mendahului carta penjaring terbanyak Piala MFL 2024/25.

Lebih menarik, pemain muda Johor Darul Ta’zim II (JDT II) kelahiran Sarawak itu dilihat sebagai antara penyerang baharu yang berpotensi besar dalam landskap bola sepak Malaysia.

Ramai penyokong The Cats mahu Nistelrooy membantu pasukan itu musim depan. — Instagram/gabriel_nistelrooy

Kecemerlangan prestasi Nistelrooy ini dilihat hasil latihan pramusim Harimau Selatan di Sepanyol April lalu apabila namanya merupakan antara pemain muda yang turut dibawa oleh pasukan untuk beberapa aksi persahabatan di sana.

Manisnya, Nistelrooy turut beraksi hebat dan berjaya menyumbang dua jaringan buat skuad Harimau Selatan ketika membelasah Club Costa City 7-0 dalam salah satu perlawanan persahabatan di Sepanyol.

Sekiranya pemain setinggi 1.84 meter itu berjaya ‘dipancing’ oleh Kuching City, tidak mustahil The Cats bakal menjadi antara kelab yang paling digeruni dalam saingan Liga M musim depan.

3. Samuel Bone

Pertahanan kental warisan England-Malaysia, Samuel Bone dilihat sebagai antara pemain yang wajar dipertimbangkan oleh Kuching City bagi memperkukuh benteng pertahanan mereka musim depan.

Dilahirkan di Sarawak, pemain berusia 27 tahun itu memiliki kekuatan fizikal dan pengalaman yang mampu memperkuatkan barisan pertahanan The Cats, yang kini semakin menunjukkan peningkatan prestasi.

Kehadiran Bone dijangka mampu menambah kestabilan di bahagian pertahanan dan menjadikan Kuching City sebuah pasukan yang sukar ditembusi, setanding dengan juara bertahan, JDT.

Pertahanan warisan England-Malaysia dijangka menjadi salah satu pemain yang dibawa masuk The Cats musim depan. — Instagram/samebone74

Musim ini, Bone telah membuat lapan penampilan keseluruhan, termasuk empat aksi dalam kempen Eropah menerusi saingan Kelayakan UEFA Europa Conference League (UECL) 2024/25, membuktikan tahap kompetitif yang dimilikinya di peringkat antarabangsa.

Ketika ini, Bone beraksi di Liga 1 Ireland bersama Shelbourne FC dan memiliki rekod beraksi bersama beberapa kelab ternama termasuk Charlton Athletic, Shamrock Rovers, Waterford FC, St. Patrick’s Athletic, serta Dundalk FC.

Kepakarannya di posisi pertahanan tengah dan pengalaman luas di luar negara dilihat sebagai aset berharga sekiranya dibawa pulang untuk memperkuatkan pasukan kelahirannya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram